NAIB juara Piala AFC, Kuala Lumpur City FC perlu ‘berbelanja’ besar jika mahu memberi saingan kepada pencabar lain dalam Liga Malaysia (Liga M) tahun depan.

Menurut pengendalinya, Bojan Hodak, KL City FC antara kelab dengan bajet terkecil dalam Liga Malaysia sejak 2021 memaksanya mempertaruhkan ramai pemain muda.

Disebabkan itu Hodak mengakui tidak dapat menurunkan barisan terbaik dalam sebahagian kempen musim ini sekaligus tersingkir awal dalam saingan domestik.

“Skuad kami terlalu kecil untuk musim yang panjang termasuk Piala AFC dan KL City FC perlu ada bajet lebih besar musim depan bagi membawa masuk pemain berkualiti.

“Ada pemain muda yang boleh dijadikan sandaran dan ada juga yang tidak boleh bermain untuk Liga M. Jadi agak sukar saya membentuk pasukan yang baik.

“Saya mungkin kekal tahun depan dan ianya (bajet) antara yang dibincangkan. Seperti disebutkan, kalau mahu membaiki pencapaian tahun ini, kami perlukan lebih bajet,” ujarnya.

Hodak berkata demikian ketika ditanya ketiadaan Ryan Lambert, Romel Morales dan J. Partiban dalam skuad utama ketika tumpas kepada Terengganu FC di suku akhir kedua Piala Malaysia 2022 pada Sabtu malam.

Menurut bekas jurulatih belia negara itu, kekalahan 1-4 secara agregat yang juga kekalahan keempat kepada TFC musim ini bukan atas faktor nasib sebaliknya dibezakan kualiti pemain.

Menurut Hodak, KL City FC terlepas peluang meraih keputusan positif dalam aksi pertama selain menyifatkan dijejaska dengan isu kecergasan pemain.

“TFC memiliki jentera serangan yang lebih berkualiti. Saya memasukkan Morales dan Partiban pada babak kedua namun boleh dilihat mereka tidak bersedia.

“Kami terlalu memberi ruang kepada lawan sehingga membenarkan mereka menyerang dengan ramai pemain, dan itu tidak wajar berlaku kepada KL City FC,” katanya.