PERLAWANAN separuh akhir pertama Piala Malaysia 2022 antara Sabah FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 15 November 2022 sememangnya menjadi tumpuan peminat bola sepak di Sabah.

Dengan tiket ke final menjadi rebutan dan juara Piala Malaysia bakal mendapat tiket ke Asia, sudah tentu para penyokong setia Sabah tidak akan melepaskan peluang untuk turut sama dalam sejarah kelab.

Sejak jualan tiket dibuka, setakat artikel ini ditulis, sudah lebih 7,000 tiket berjaya dijual di atas talian dan sekali lagi Stadium Likas dijangka penuh seperti ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan Liga Super Julai lalu.

 

Keadaan cuaca yang kurang menentu dan kempen Pilihanraya Umum ke-15 yang sedang berlangsung tidak menjadi penghalang buat para penyokong untuk sama-sama memberikan sokongan kepada anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee.

Sabah berjaya ke separuh akhir selepas mengenepikan cabaran UiTM FC di peringkat 16 terbaik sebelum dipaksa bekerja keras sehingga masa tambahan pada peringkat suku akhir sebelum menang keatas Kuching City FC.

Lawan mereka di separuh akhir adalah juara tiga piala domestik, Johor Darul Ta’zim yang dalam prestasi terbaik ketika ini apabila berjaya menjaringkan 14 gol dan masih tidak dibolosi dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

Tiket masih dijual diatas talian dan akan dijual secara fizikal di stadium untuk satu lagi aksi yang pastinya menjanjikan debaran buat para pemain dan juga para penyokong.