PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain memberi jaminan akan memberi fokus lebih 100 peratus pada aksi separuh akhir Piala Malaysia bertemu Selangor FC, Rabu malam.
Menurutnya, isu permasalahan di luar padang tidak akan sesekali meruntuhkan moral dan semangat skuad kendaliannya dalam misi mencari bekalan selesa di tempat lawan.
“Pasukan saya sentiasa bermain dengan penuh keazaman dan semangat juang tinggi. Bukan itu saja, kami teruja untuk mara ke final selepas melakukannya dalam Piala FA.
“Pemain-pemain TFC beri yang terbaik dalam setiap perlawanan. Hasil yang dilihat sekarang adalah daripada kerja keras mereka dan saya percaya momentum itu boleh dikekalkan.
“Kita semakin menghampiri penghujung perjalanan dan TFC mahu penamat yang menggembirakan,” jelas Nafuzi ketika ditemui FLASH SUKAN pada sesi latihan.
Namun pengendali berusia 44 tahun itu mengakui, TFC berdepan tugas getir dengan pertarungan taktikal yang bakal disajikan Tan Cheng Hoe selaku arkitek meningkatkan prestasi Selangor.
Nafuzi menjelaskan, skuad The Red Giant bukan lagi pasukan sama yang ditewaskan pada separuh akhir Piala FA yang lalu sekaligus menuntut skuad kendaliannya lebih berhati-hati.
Selain itu, reputasi hebat Selangor FC dalam kempen Piala Malaysia iaitu juara 33 kali juga ujarnya tidak boleh dipandang sebelah mata oleh skuad bimbingannya.
“Sejak melatih Selangor, beliau (Cheng Hoe) belum pernah tewas dalam lapan perlawanan iaitu enam kali menang dan dua keputusan seri. Mereka juga hanya bolos tiga gol.
“Corak permainan Selangor lebih tersusun dan saya tahu Cheng Hoe suka bermain (penguasaan) bola serta penggunaan dua pemain sayap yang laju.
“Apa pun saya harap TFC dapat kekalkan rentak kemenangan dan meraih keputusan positif untuk pertemuan timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,” jelas Nafuzi.