JURULATIH Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui kesilapannya memasuki padang semasa aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia penuh tegang di Stadium Likas pada Selasa malam.
Jelasnya, beliau tahu untuk setiap perlawanan keputusan pengadil tidak perlu dipersoalkan tetapi situasi dalam padang cukup berlainan.
“Ini satu perlawanan agak tegang dimana kita tahu ini adalah perlawanan separuh akhir dan sudah tentu Sabah yang bermain di tempat sendiri pada perlawanan terakhir musim ini.
“Para pemain tunjuk semangat juang yang tinggi walaupun kita terpaksa bermain tanpa tujuh dan lapan tonggak utama. Tapi pemain memberikan satu tentangan cukup sengit. Akhirnya kita hilang sedikit fokus dan menyebabkan kita dibolosi dengan satu gol.
“Situasi saya memasuki padang memang satu kesalahan dan pada masa yang sama saya percaya juga kad merah yang dilayangkan kepada Feroz (Baharudin) mungkin bukan kad kuning kedua.
“Dihadapan saya sendiri Feroz mendapatkan bola namun itu keputusan pengadil.
“Dan keputusan pengadil memberi saya kad kuning pun saya tak perlu persoalkan kerana kesilapan saya.
“Jadi yang penting sekarang ini kita kembali fokus 90 minit perlawanan dan dengan ketinggalan 1-0 bukan satu jarak yang cukup jauh untuk kita kembali.
“Tempoh 90 minit atau pun 120 minit di Johor macam-macam boleh berlaku,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Likas.
ARTIKEL BERKAITAN : JDT bawa bekalan satu gol aksi penuh tegang di Likas
Kim Swee dan anak buahnya bakal mengharungi satu lagi aksi getir di Stadium Sultan Ibrahim dalam merintis laluan ke final sejak kali terakhir melakukannya pada 2003.