DERETAN peluang dimiliki pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan keputusan satu gol dilakar di tempat lawan menggembirakan hati pengendalinya, Hector Bidoglio.

Katanya, masih ada lagi perhitungan 90 minit di Stadium Sultan Ibrahim untuk ditempuhi pemain JDT sebelum berkira-kira ke pentas final.

“Hari ini JDT main baik dan berjaya tunjukkan aksi terpuji serta mendapatkan jaringan.

“Saingan separuh akhir begitu sukar dan kami terlalu banyak cipta peluang. Sabah pasukan kuat. Kami perlu tingkatkan lagi corak permainan hari demi hari,” katanya di Stadium Likas selepas perlawanan.

Bekas pemain kebangsaan Venezuela itu mendedahkan JDT mengamalkan taktikal berlainan berikutan struktur padang yang agak keras.

“Kami bermain permainan kami dengan menggerakkan bola serta melakukan ‘switch play’.

“Keputusan 1-0 ini adil kerana ianya adalah perlawanan yang sukar kerana perlawanan separuh akhir memang sentiasa sukar,” katanya.

Pada perlawanan di Likas yang disaksikan kira-kira 14,000 penonton The Rhinos, JDT mampu meraih kemenangan walaupun beraksi kurang seorang pemain apabila Feroz Baharudin dibuang padang di babak kedua.