YAKIN kontinjen Malaysia mampu memperbaiki pencapaian suram di temasya Sukan SEA Kemboja 2023, namun Majlis Sukan Negara (MSN) belum ada bayangan jelas pertambahan pingat yang akan dipungut pada temasya itu, Mei tahun hadapan.
Timbalan Ketua Pengarah MSN, Suhardi Alias berkata, kerja keras yang dilakukan badan induk sukan itu dalam membuat penilaian dan pemilihan atlet sejak Mac dua tahun lalu, diyakini mampu menerbitkan sinar pada temasya dwitahunan itu nanti.
Bagaimanapun Suhardi berkata, sasaran pingat akan diumumkan oleh MSN sebaik sahaja jawatankuasa kerja membuat penilaian mengenai pelbagai aspek yang perlu dititikberatkan.
“Kita amat yakin prestasi di Kemboja nanti akan jauh lebih baik berbanding temasya di Hanoi sebelum ini, namun ia akan dinilai dalam jawatankuasa kerja yang bakal dibentuk nanti.
“Selepas perbincangan dalam jawatankuasa kerja, kita akan umumkan sebulan sebelum temasya Sukan SEA bermula,” katanya, selepas Perhimpunan Atlet Fasa 1 Sukan SEA Kemboja 2023 di Kompleks MSN, Bukit Jalil pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Kontinjen (CDM) Sukan SEA Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali.
Pada temasya Sukan SEA Hanoi, pencapaian kontinjen negara dianggap suram meskipun berjaya melepasi sasaran 36 pingat emas, selepas sekadar menghuni kedudukan keenam keseluruhan dengan mengutip 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa, di belakang Singapura.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin percaya keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menetapkan syarat atlet berusia bawah 23 tahun dalam kategori B sebagai langkah bijak sebagai pelan jangka panjang.
“Atlet bawah 23 tahun bagi kategori B adalah sebagai persiapan untuk generasi seterusnya beraksi pada Sukan SEA Thailand 2025 serta Kuala Lumpur 2027. Kita tidak boleh terus berharap kepada atlet-atlet senior yang sudah berumur sekarang.
“Langkah MOM ini adalah yang terbaik dalam usaha kita menyediakan pasukan ke temasya akan datang. Selepas ini, kita juga akan ada Sukan Olimpik Paris 2024 serta Los Angeles 2028,” katanya.