NG Eain Yow melakar kejutan terbesar pada hari kedua saingan Skuasy Terbuka Singapura, selepas menyingkir pemian nombor 2 dunia Paul Coll, dalam pertarungan lima set.
Pemain negara itu, beraksi bagai ‘Superman’ apabila tidak mengenal lelah terutamanya selepas bermain 90 minit ketika menewaskan Saurav Ghosal dari India semalam.
Ironinya, pemain New Zealand itu memenangi dua set awal sebelum Eain Yow yang berada di ranking ke-24 dunia melakukan kebangkitan.
Pemain Kiwi menang 11-9, 11-9 pada dua set awal dijangka mudah memenangi perlawanan itu, namun Eain Yow bangkit melawan.
Pemain negara yang berangkalan di England itu mendahului 5-0 pada set ketiga, sebelum Coll bangkit memberi saingan 8-8 dan memenangi set 11-8.
Semangat kebangkitannya terus membara apabila menang dua set berikutnya dengan cukup selesa 11-5, 11-4, sekali gus menyingkir pilihan utama kejohanan.
Kemenangan itu juga membuka ruang buatnya lolos di suku akhir.
“Jujur saya katakan, tak tergambar perasaan ini. Masih memperoses apa sedang berlaku kerana sudah banyak kali saya cuba melakukannya.
“Sebelum ini, saya rasakan selamanya tidak akan menang ke atas pemain 10 terbaik dunia biarpun berkali-kali hampir melakukannya. Melakukannya hari ini, saya amat berbangga dengan prestasi saya, terima kasih juga kepada Andrew Cross (jurulatih skuasy kebangsaan) yang membantu saya, ibu bapa saya yang hadir memberi sokongan,” kata Eain Yow, sangat gembira.
Di suku akhir esok (Khamis), Eain Yow akan berdepan pilihan keenam, Jeol Makin dari Wales.
Sementara itu, pemain wanita, Aifa Azman tidak mampu membendung kehebatan jaguh Mesir, Nour El Tayeb apabila tunduk 0-3 dalam masa 28 minit.
Aifa tewas kepada pilihan ketiga kejohanan itu dengan mata, 6-11, 14-16, 4-11.