SASARAN 10 pingat emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) buat kontinjen olahraga di temasya Sukan SEA Kemboja tahun hadapan, satu tugas berat untuk dicapai.

Hal itu diakui ketua jurulatih olahraga kebangsaan Manshahar Abdul Jalil, namun persiapan bagi merealisasikan sasaran itu sudah dibuat sejak Oktober lalu.

Tugas sukar buat Manshahar itu lebih terarah kepada acara trek selepas gagal menyumbang sebarang emas pada temasya 2021 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam, Mei lalu.

“Gerak kerja sudah bermula sejak dimaklumkan sasaran ini, bahagian pemilihan atlet dan jurulatih mengakui cabaran besar untuk direalisasikan, tapi kita sudah menjalankan tugas di peringkat awal.

“Latihan bermula sejak Oktober lalu dan kini memasuki fasa akhir persediaan spesifik iaitu kita akan mendedahkan atlet kepada kejohanan yang ada di akkhir tahun ini, dan paling dekat pada Disember,” kata Manshahar.

Menurut beliau, atlet kebangsaan akan menyertai Kejohanan Olahraga SAECA-BJSS 2022 yang berlangsung 2 hingga 4 Disember ini, dalam kategori Terbuka Lelaki dan Wanita.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan Manshahar Abdul Jalil akui cabaran besar mendapatkan 10 pingat emas olahraga di Sukan SEA Kemboja nanti, namun pihaknya akan berusaha merealisasikannya.

Katanya, Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sudah bermesyuarat bagi memilih kejohanan luar negara.

“Jawatankuasa sedang membuat pemilihan kejohanan luar negara yang sesuai disertai,” katanya.

Beliau berkata, pada temasya Kemboja nanti, pemenang pingat emas di Hanoi sekali lagi diharap mengekalkan kemenangan seperti Andre Anura (Lompat Kijang), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Jackie Wong (baling tukul besi), Nor Sarah Adi (lompat bergalah), dan Grace Wong (baling tukul besi).

“Kita perlu berikan lebih tumpuan kepada acara trek kerana tidak menyumbang emas di Hanoi. Mungkin kita ada harapan dalam acara jarak jauh dan jarak sederhana,” kata Manshahar lagi.

Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain, 20, menang tiga pingat emas Sukma 2022 dalam acara 10,000m, 3,000m dan 5,000m

Manshahar pastinya mahu memberi perhatian kepada pemenang  tiga pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2022, iaitu Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain, selepas atlet berusia 20 tahun itu menguasai acara 10,000 meter (m), 3,000m dan 5,000m.

Manshahar turut mempertahankan ketetapan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menetapkan atlet yang mencatat kejayaan tempat pertama hingga ketiga dalam kategori A dan hanya atlet bawah 23 tahun (B23) diberi peluang di bawah kategori B, iaitu menamatkan saingan antarabangsa di kelompok enam terbaik.

“Bagi saya, ketetapan tu menjadi ‘benchmark’ yang baik sekali gus dapat menghasilkan atlet berkualiti,” katanya lagi.

Pada temasya 2019 di Manila, skuad olahraga negara membawa pulang lima emas, sembilan perak dan lapan gangsa, dan Muhammad Haiqal Hanafi muncul satu-satunya atlet trek menghadiahkan emas apabila memenangi acara 100m.

Pada temasya 2021 yang berlangsung di Hanoi, Mei lalu, Malaysia mengulangi pencapaian lima emas, tiga perak dan 14 gangsa, namun tiada sumbangan emas daripada atlet trek.