PEMAIN perseorangan lelaki nombor dua dunia, Lee Zii Jia kandas di pusingan kedua Terbuka Australia, sekali gus gagal melayakkan diri ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF, Disember ini.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia boleh mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF selepas tersingkir di pusingan kedua Terbuka Australia di Sydney, hari ini.

Pemain nombor dua dunia itu terpaksa akur apabila tewas di tangan Lu Guang Zu 22-20, 15-21, 16-21 sekali gus gagal melangkah ke peringkat ke suku akhir.

Lu Guang Zu dari China singkir Lee Zii Jia untuk mencerahkan peluangnya ke Jelajah Dunia Akhir.

Kekalahan itu menyaksikan pintu buat Zii Jia beraksi di Jelajah Dunia Akhir yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand dari 7 hingga 11 Disember, kini sudah tertutup.

Zii Jia berada di ranking kesembilan Jelajah Dunia perlu mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir kejohanan di Sydney bagi memintas kedudukan Guang Zu yang berada di tempat kelapan.

Hanya lapan pemain terbaik dalam ranking Jelajah Dunia layak beraksi pada kejohanan akhir musim itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.83 juta).

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong meneruskan kemaraan ke suku akhir Terbuka Australia selepas menewaskan lawan dari Korea Selatan, Heo Kwang Hee 21-16, 19-21, 21-5.

Ng Tze Yong mengatasi pemain Korea Selatan, Heo Kwang Hee 21-16, 19-21, 21-5 untuk mara ke suku akhir Terbuka Australia.

Pada aksi suku akhir esok, Tze Yong akan bertemu wakil tuan rumah, Nathan Tang.

Keputusan positif di Sydney penting buat pemain berusia 22 tahun itu untuk mencapai sasaran berada dalam kelompok 32 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini dan seterusnya dapat beraksi pada kejohanan bertaraf Super 1000 tahun depan.

Berdasarkan ranking terkini dikemaskini 15 November, Tze Yong berada di ranking ke-33 dunia.

Pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei turut mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan wakil India, Anwesha Gowda 7-21, 13-21.