PERTAHANAN Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar menganggap jaringan pertamanya untuk musim 2022 sebagai hadiah ulang tahun kelahiran yang bermakna sekali gus membantu kemenangan pasukan dalam aksi pertama separuh akhir TM Piala Malaysia.

Apa yang lebih menarik, tiga jaringan Selangor adalah menerusi ‘set piece’ yang sekali gus berjaya menghukum anak buah Nafuzi Zain dengan keputusan 3-1.

Bagi pemain berusia 23 tahun itu, kemenangan ini lebih bermakna kerana Selangor berjaya melebur rekod bersih kemenangan Terengganu ke atas mereka sejak tahun 2019.

Dan tiga gol untuk dibawa ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ini sangat berharga memandangkan ia akan menjadi perlawanan yang lebih sukar dalam misi untuk mara ke final.

“Saya berbangga kerana dapat kemenangan malam ini dan dapat juga hilangkan badi kekalahan kepada Terengganu tetapi kita tidak boleh rasa selesa sebab masih 90 minit lagi.

“Tidak sangka juga dapat gol daripada sepakan penjuru macam itu tetapi mungkin ini rezeki kami untuk menjaringkan gol dalam ‘set piece’.

“Saya nak berterima kasih kepada rakan-rakan sebab beri 100 peratus fokus dan berjuang dalam padang sebab inilah yang kita nak dalam pasukan dan Alhamdulillah saya terlalu gembira dapat tolong pasukan apatah lagi di hari kelahiran saya”, jelasnya.

Aksi kedua separuh akhir TM Piala Malaysia akan berlangung pada 20 November ini membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC manakala Terengganu menentang Selangor pada 21 November.