PEMAIN ski air adik beradik, Aaliyah dan Aiden Yoong Hanifah mahu catat rekod baru dengan menyertai Kejohanan Oceania di Australia, hujung minggu ini.
Pemegang tajaan dan duta Yayasan Sime Darby, Aaliyah, 19, bersama adiknya Aiden, 17, dijemput Konfederasi Oceania untuk mengambil bahagian pada saingan di Max Kriwan Ski Park Mulwala, New South Wales, bakal menghadapi cabaran daripada beberapa pemain ski terkemuka rantau ini.
Ketua jurulatih Malaysian Waterski & Wakeboard Federation (MWWF), Hanifah Yoong dalam satu kenyataan berkata, jemputan beraksi itu menjadi peluang terbaik buat Aaliyah untuk memberi impak kehadirannya pada saingan tertinggi, selepas kejayaan meraih pingat gangsa di dalam acara kegemarannya di Sukan Dunia di Birmingham, Alabama, Julai lalu.
“Pertandingan di Oceania membabitkan saingan kuat dari Australia dan New Zealand, dan pasti menjadi medan terbaik untuk Aaliyah menilai di mana kedudukan dirinya,” kata Hanifah dalam kenyataan yang diedarkan.
Selepas cemerlang di Sukan Dunia, Aaliyah mendominasi Kejohanan Asia Ogos lalu, apabila menyapu bersih semua empat pingat emas dalam acara ‘tricks, slalom, jumps’ dan keseluruhan.
“Aaliyah pasti tidak sabar untuk mencatat mata lebih baik dalam acara ‘tricks’ selepas melakukan rekod peribadi 8,080 mata Jun lalu.
“Sementara itu bagi Aiden, ia akan menjadi pertandingan kedua beliau tahun ini dan matlamat untuknya adalah untuk memperbaiki skor ‘tricks’ bagi membolehkan dia mendapat jemputan ke Junior Moomba di Melbourne pada Mac tahun depan. Mata terbaik Aiden dalam ‘tricks’ ketika ini ialah 5,680 mata,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Aaliyah cipta rekod Asia pada sesi latihan
Pada penampilan terakhir Kejohanan Asia di Korea, Aiden meraih satu perak dan dua gangsa.
Aaliyah akan beraksi dalam slalom, tricks dan jumps, manakala Aiden akan bersaing dalam slalom dan tricks sahaja.
“Ini adalah acara antarabangsa ketujuh Aaliyah tahun ini dan setakat ini dia selesa dalam kelompok 10 terbaik dunia ranking wanita terbuka,” kata Hanifah lagi.
Aaliyah ketika ini menduduki tangga tiga teratas rakning Bawah 21 tahun Dunia, dan jika meraih keputusan yang baik, atlet berusia 19 tahun itu mempunyai peluang cerah di Kejohanan Dunia IWWF B21, yang akan berlangsung di Mexico, tahun hadapan.