PENYERANG Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya mendedahkan momen terbaik yang tidak dapat dilupakan sepanjang bersama KL City FC sehingga ke penghujung musim adalah apabila The City Boys berjaya melakar sejarah menjadi kelab kedua mara ke final Piala AFC.

“Bagi saya, momen yang terbaik pada tahun ini adalah kita melayakkan diri ke final Piala AFC. Bagi saya itu amat susah untuk dicapai.

“Tidak semua kelab akan dapat perkara itu. Jadi, itu adalah satu benda yang sangat bermakna untuk diri saya. Satu pengalaman yang baik, berlawan dengan kelab-kelab yang baik di Asia,” jelasnya kepada media.

Susulan prestasi baik bersama KLCity FC musim ini, Zhafri sedia beraksi untuk pasukan Harimau Malaya sekiranya diberi peluang oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Namun, jika dipanggil Pan-gon, dia berharap agar dapat diturunkan dalam kesebelasan utama menentang pasukan-pasukan lain seiring dengan visi kelab yang mahukan Zhafri untuk bermain dan bukan hanya mengisi bangku simpanan.

“Sudah semestinya, saya memang ingin bermain dengan pasukan kebangsaan. Itu adalah satu pentas yang terbaik untuk diri saya.

“Memandangkan sebelum ini, saya belum dapat diturunkan dan bermain, mungkin kali ini saya harap akan bermain. Apapun, kelab tahu apa yang terbaik untuk saya,” ujarnya.

Sebelum ini Zafri pernah dipanggil bersama skuad negara pada aksi Piala Raja-Raja Thai September lalu, namun hanya mengisi bangku simpanan skuad kendalian Pan-gon.

Dalam pada itu, pemain berusia 28 tahun itu enggan berkongsi status kontraknya bersama KL City FC pada musim hadapan.

Bagaimanapun, dia mengakui ada menerima tawaran dari beberapa kelab lain namun mengambil keputusan untuk tidak mendedahkannya pada masa ini.

“Kontrak itu mungkin saya akan simpan dahulu. Belum masa untuk saya beritahu. Ada beberapa tawaran tetapi masih dalam perbincangan,” kongsinya.

Turut hadir adalah Penaung Kelab Bolasepak Setiawangsa Rangers, Nik Nazmi Nik Ahmad yang merupakan insan bertanggungjawab merasmikan klinik tersebut.

Menurut Nik Nazmi Nik Ahmad, klinik tersebut dianjurkan bagi mencungkil bakat-bakat baru untuk menjadi permata yang bakal diserap bersama pasukan Kuala Lumpur City FC serta skuad kebangsaan.

“Insha Allah sebab bagi saya kita tahu biasa di banyak tempat bagaimana negara lain mempunyai pasukan bola sepak yang kuat adalah dengan mencungkil bakat pada peringkat asas,” menurutnya.

“Saya lihat sekarang kita ada usaha itu kembali seperti Liga Suparimau. Grass root football juga semakin mendapat tempat,” katanya.

Bagaimanapun, dia menjelaskan pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu kerana negara kita mempunyai padang yang banyak namun kualitinya masih belum mencapai standard yang baik.

“Antara perkara yang juga perlu dipandang adalah kita mempunyai padang yang banyak namun kualitinya sangat rendah.

“Di Kuala Lumpur, fasiliti masih kekurangan. Bagi saya, pihak berkuasa harus beri perhatian terhadap perkara ini dan sukar untuk pemain muda ini kekal minat dalam sukan jika tidak mempunyai padang yang baik,” jelasnya.

Tambahnya, Malaysia boleh mengambil contoh Iceland, meskipun negara tersebut kecil, namun mampu menghasilkan kemudahan serta fasiliti bertaraf dunia.

“Contoh paling menarik, Iceland pernah sampai ke peringkat tertinggi. Negara yang sangat kecil tetapi mempunyai fasiliti tahap dunia. Itu adalah antara perkara yang perlu kita contohi sekiranya ingin melihat lebih ramai pemain bola sepak handalan,” dedahnya.

Seramai 25 pemain hadir menyertai Klinik Bolasepak Setiawangsa Rangers FC yang dilangsungkan di Cruyff Court PPR Kampung Baru Air Panas, Setapak meliputi rata-rata pemain dalam lingkungan umur 9-12 tahun.