PEMAIN perseorangan nombor satu kebangsaan, Ng Tze Yong melangkah ke separuh akhir Terbuka Australia, selepas mudah mengatasi pemain tuan rumah, dalam saingan lapan pemain terbaik, hari ini.

Selepas dipaksa bermain sehingga tiga set menentang Hoe Kwang Hee dari Korea Selatan semalam, pemain perseorangan yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, langsung tidak mempamerkan tanda-tanda kepenatan ketika menentang Nathan Tang.

Anak didik Hendrawan itu mempamerkan keinginan memburu kejuaraan dengan kemenangan 21-9, 21-7 ke atas Nathan.

Lawannya di separuh akhir esok, bukan calang-calang iaitu Lu Guang Zu dari China, yang menyingkir pilihan utama kejohanan yang juga pemain nombor dua dunia, Lee Zii Jia di pusingan kedua.

Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut mara ke separuh akhir Terbuka Australia.

Guang Zu juga menempah tempat ke separuh akhir dengan kemenangan mudah ke atas pemain Indonesia, Rumbay Ikhsan Leonardo 21-12, 21-9.

Mengiringi Tze Yong, beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang menang ke atas Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, 21-10, 21-10.

Mereka bakal berdepan gandingan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong di separuh akhir esok.

Sementara itu, perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei gagal meneruskan cabaran selepas tewas kepada pilihan ketiga dari Thailand, Porpawee Chochuwong 11-21, 13-21.