BEREGU profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menjadi wakil tunggal negara di final Terbuka Australia esok (Ahad), selepas saingan separuh akhir hari ini menyaksikan kemaraan perseorangan utama kebangsaan, Ng Tze Yong tersekat.
Yew Sin-Ee Yi mempamerkan aksi cemerlang ketika menghadapi He Ji Ting-Zhou Hao Dong dari China pada pertemuan pertama antara kedua-dua gandingan itu.
Meskipun tewas 14-21 di set pertama, prestasi lebih konsisten pada dua set berikutnya membawa mereka ke final selepas menang 21-17, 21-18.
Kemenangan itu membawa mereka ke final menentang satu lagi sandaran China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.
Berdasarkan rekod pertemuan, peluang seimbang buat kedua-dua pasangan selepas masing-masing menang satu perlawanan namun perlawanan terakhir dimenangi gandingan China yang berada di ranking ke-14 dunia.
Sementara itu, kemaraan Tze Yong disekat pemain nombor 19 dunia China, Lu Guang Zu, yang mengatasi pemain meningkat naik negara itu dengan keputusan 18-21, 15-21.
Ini adalah kekalahan kedua Tze Yong kepada Guang Zu selepas pertemuan di Terbuka Malaysia yang menyaksikan perlawanan berlanjutan ke rubber set.
Guang Zu sebelum ini menyingkir pilihan utama kejohanan Lee Zii Jia di pusingan kedua.