Oleh: MOHD FARIQ

SETIAP kali edisi Piala Dunia FIFA dianjurkan, penulis berasa teruja, cemas, berdebar dan tidak keruan.

In shaa Allah, Qatar juga akan jadi destinasi persinggahan seterusnya bagi penulis yang beruntung kerana tidak pernah ketinggalan menonton Piala Dunia di venue sejak edisi di Itali pada 1990.

Perasaan bercampur baur itu tetap dirasakan kerana setiap edisi membawa kenangan berbeza.

Sebagai seorang pelajar yang mengikuti rombongan keluarga bapa saudara, penulis diselimuti keseronokan tidak terhingga. Maklumlah, baharu berusia 15 tahun tetapi diberi peluang ke Rome untuk menyaksikan magisnya Piala Dunia.

Tuan rumah Itali diperkuatkan oleh Roberto Baggio, Gianluca Vialli, Franco Baresi, Carlo Ancelotti, Paolo Maldini, Roberto Donadoni dan Walter Zenga – nama-nama besar yang membentuk skuad impian Azeglio Vicini tetapi yang mencuri tumpuan penyerang simpanan, Salvatore Schillaci.

Azeglio Vicini. Foto: Twitter

Menonton dokumentari Italia 90 di Astro GO menghidupkan semula memori penulis menjelajah Rome dan Milan, menyelami perasaan peminat bola sepak dunia yang diwarnai dengan tarian bintang veteran Cameroon, Roger Milla dan penampilan Paul Gascoigne buat England.

Pada usia belasan tahun, penulis tidak memahami iklim politik dunia dan hanya kini menyedari bahawa Italia 90 mengubah lanskap dunia, dengan penyertaan terakhir Yugoslavia sebagai sebuah negara manakala Jerman bersatu susulan runtuhnya Tembok Berlin pada 1989.

Penulis meliput Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat atas tiket sebagai antara wakil media dengan menggunakan akses yang disediakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan sempat menyertai rombongan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, yang ketika itu Tengku Mahkota Pahang dan timbalan presiden FAM.

Dengan cuaca panas terik, USA94 diadakan di sebuah negara bukan bola sepak tetapi kemeriahannya tetap terasa.

Penulis menumpang bangga menonton jaringan pemain tengah Arab Saudi, Saeed Owairan yang menggelecek empat pemain Belgium untuk menjaringkan gol tercantik kejohanan, manakala Diego Maradona didapati positif bahan terlarang.

Tiba giliran France 98, penulis mengikuti perkembangan Jepun dengan Hidetoshi Nakata sebagai tareas utamanya apabila saingan diluaskan kepada 32 pasukan.

Nakata ketika itu berstatus ibarat Son Heung Min hari ini, dipuja seluruh benua.

Jepun menewaskan Iran bagi Kelayakan Piala Dunia 1998 di Johor Bahru. Foto: AFC/AFP

Penulis teringat pada 1997 apabila Jepun menewaskan Iran 3-2 di Johor Bahru bagi menentukan tempat ke France 98. Iran, dengan dibantu Ali Daei, Khodadad Azizi, Mehdi Mahdavikia dan Hamid Reza Estili, akhirnya mengiringi Jepun ke France’98 sesudah menewaskan Australia dalam playoff antara benua.

Sejarah memihak kepada Perancis untuk muncul juara buat kali pertama di kendang sendiri pada final yang diselubungi misteri berhubung tekanan terhadap Ronaldo yang nyaris digugurkan pada saat akhir akibat diserang sawan. Bendera Malaysia pula dikibar atas sebab adanya wakil negara, Allahyarham Kapten Abdul Halim Abdul Hamid, penolong pengadil yang bertugas ketika Argentina menewaskan England menerusi sepakan penalti pada pusingan kalah mati.

Dalam minda penulis edisi Korea Selatan dan Jepun pada 2002 harus antara yang terbaik.

Ini kerana penulis menyedari hanya gandingan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersama Setiausaha Agung AFC, Datuk Peter Velappan, mampu memastikan penganjuran dua negara hos berbeza buat kali pertama dan diadakan di benua Asia tentunya membawa banyak kisah balik tabir yang tidak terungkap.

Akhirnya Korea Selatan dan Jepun membuktikan bahawa Asia Boleh, ditambah dengan kemaraan Korea Selatan ke separuh akhir sebelum tewas kepada Jerman hasil jaringan Michael Ballack.

Kenangan yang tidak dapat penulis lupakan ialah dipelawa bersantap dengan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah di kamar Almarhum, bersama jurufoto New Straits Times, Khalid Redza. Penulis ketika itu wartawan sukan The Malay Mail, akhbar tabloid berbahasa Inggeris yang kini terhad kepada versi atas talian sahaja.

Apabila edisi Jerman 2006 tiba, penulis menemani bapa saudara untuk menikmati pengalaman baharu di Jerman dan akhirnya menonton detik Zinedine Zidane menghempas dada Marco Materazzi pada final di Berlin.

DI Afrika Selatan 2010, penulis menyertai rombongan FAM yang berasa bangga dengan pelantikan Subkhiddin Mohd Salleh selaku antara pengadil.

Subkhiddin pengadil Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan

Di Brazil 2014, penulis bersama beberapa sahabat dan keluarga mereka berhimpun di Rio de Janeiro untuk merasakan debaran bola sepak dunia di negara yang gilakan bola sepak dan akhirnya tidak terkejut apabila Jerman menjadi negara pertama luar benua Amerika Latin untuk muncul juara di Amerika Selatan.

Pada 2018, Fan ID diperkenalkan di Rusia dengan seluruh dunia memeluk penggunaan digital sepenuhnya. Perancis menewaskan Croatia dengan menyambut kehadiran Kylian Mbappe sebagai bintang baharu dunia.

Penulis tidak sabar menunggu untuk Piala Dunia di Asia buat kali kedua, selepas 20 tahun.

Tentunya memori bersama Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah masih segar dalam lipatan minda penulis, tetapi selepas dua dekad, Qatar 2022 menghidangkan peluang kepada benua Asia untuk mencabar orde sedia ada.

Apakah tuan rumah Qatar, Korea Selatan, Jepun, Iran dan Arab Saudi mampu mengambil kesempatan cuaca dan persekitaran untuk mencatat keputusan luar kebiasaan?

Iran, diterajui penyerang Porto, Mehdi Taremi, menduduki ranking tertinggi dalam kalangan negara Asia di tangga ke-20 senarai FIFA, disusuli Jepun (24), Korea Selatan (28), Qatar (50) dan Arab Saudi (51). Australia yang mewakili benua Oceania pula bersaing zon kelayakan Asia dan menduduki tangga ke-38.

Korea Selatan dibimbing oleh Paulo Bento yang menyandarkan harapan kepada Heung-min untuk meneruskan prestasinya bersama Spurs, manakala Qatar selaku tuan rumah dan juara Piala Asia AFC 2019, bukan mudah tunduk.

Segala-galanya menunjukkan bahawa penulis bersedia merakam kenangan baharu dari bumi Arab.

Marhaba ya Ad-Dawhah.