KETUA pasukan Terengganu FC (TFC), Tchetche Kipre optimis skuad Sang Penyu mampu bangkit pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam esok.

Menurut penyerang kelahiran Ivory Coast itu, tiada apa yang mustahil buat TFC meskipun memulakan permainan dengan ketinggalan 1-3 menerusi agregat.

Tchetche berkata, masih ada tempoh 90 minit yang panjang dan kehadiran puluhan ribu penyokong setia TFC diharap memberi tonik terbaik buat pasukannya.

“Sudah menjadi impian kami untuk bangkit dan mendapatkan tiga gol bagi mengatasi Selangor. Dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi dan tiada yang mustahil.

“Kami tewas dalam aksi pertama dan kali ini giliran TFC membuktikan kemampuan dan menunjukkan kualiti sebenar kepada pasukan lawan.

“Saya yakin rakan-sepasukan boleh bangkit dalam perlawanan ini dan kami perlu mendapatkan gol awal untuk menaikkan moral,” katanya kepada FLASH SUKAN.

 

Tchetche muncul penjaring gol awal TFC dalam aksi pertama di Petaling Jaya namun kelebihan itu gagal dipertahankan sebaliknya Selangor bangkit dengan tiga gol sebagai bekalan.

Sementara itu TFC menerusi hantaran di media sosialnya memberitahu hampir 20,000 tiket telah terjual untuk aksi penentuan ke final itu, malam esok.