JOHOR Darul Ta’zim (JDT) gah ke final Piala Malaysia selepas menang dengan agregat 4-1 apabila membaham Sabah FC 3-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
JDT yang muncul naib juara musim lalu akan berdepan sama ada Terengganu FC atau Selangor FC pada aksi final piala berprestij edisi ke-101 di Stadium Bukit Jalil Sabtu ini.
10 minit pertama menyaksikan kedua-dua bermain bertukar hantaran dan beberapa kali JDT mencemaskan benteng pelawat dikemudi Damien Lim.
Dua peluang keemasan bermula tandukan Natxo Insa m-17 dan percubaan Bergson Da Silva masing-masing diselamatkan oleh Damien.
FT :
Separuh Akhir ke-2 TM Piala Malaysia
Johor Darul Ta'zim (4) 3-1 (1) Sabah FC
⚽ Bergson 34'
⚽ Forestieri 41'
⚽ Taiki Kagayama 48'
⚽ Syafiq Ahmad 90'* JDT mara ke final agregat 4-1
— Flash Sukan (@FlashSukan) November 20, 2022
Bergson berjaya memecahkan kebuntuan jaringan untuk menjadi kedudukan agregat 2-0 menerusi gol tandukan cantik m-34 disusuli rembatan deras Fernando Forestieri yang menggandakan kelebihan JDT enam minit berselang.
Dukungan tidak henti-henti pemain ke-12 JDT, ‘Boys Of Straits’ yang bersorak tanpa penat lelah sepanjang perlawanan berjaya menyemarakkan api perjuangan anak didik Hector Bidoglio pada perlawanan yang dianggarkan dihadiri 33,445 penonton.
47’ GOL | Taiki Kagayama merapatkan kedudukan untuk Sabah FC!@OfficialJohor 2-1 @SabahFCofficial #TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/ivlHGCuJiH
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) November 20, 2022
Bersambung babak kedua, pertukaran dilakukan Datuk Ong Kim Swee memasukkan N Thanabalan mengubah rentak The Rhinos. Taiki Kagayama berjaya menyambar bola muntah Farizal Marlias bagi merapatkan jurang defisit gol m-47.
JDT memperoleh sepakan penalti tapi gagal disudahkan oleh pemain gantian, Safawi Rasid. Bagaimanapun, kegagalan itu segera ditebus Syafiq Ahmad yang menjaringkan gol ketiga tuan rumah pada masa kecederaan sebelum aksi penuh rancak ditamatkan oleh pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin.
Ini adalah pencapaian kali kelima kelab dari selatan tanah air itu melangkah ke final pada 2014, 2017, 2019 dan 2021 dan musim ini.
JDT kini di landasan memahat sejarah menjadi pasukan pertama bergelar juara quadruple (empat trofi) selepas telah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super.