PERTAHANAN kental Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar mendedahkan sebab dia menangis teresak-esak adalah kerana dia berjaya melayakkan diri ke final buat kali pertama bersama Selangor FC.

Dia juga turut berduka sebelum ini, namun skripnya berbeza kerana Gergasi Merah ditunjuk jalan keluar oleh Terengganu FC pada peringkat separuh akhir Piala FA tahun ini namun berjaya ditebus pada saingan Piala Malaysia musim ini.

“Saya teresak-esak kerana saya kali pertama dapat merasa final. Sebelum ini, melawan Terengganu kami kalah. Saya menangis kerana kalah.

“Hari ini saya menangis kerana saya sangat gembira masuk ke final dan saya dapat membantu pasukan, Alhamdulillah.

“Saya rasa inilah detik yang saya tidak dapat lupakan. Ini juga kali pertama saya ke final untuk liga yang besar, piala yang besar,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Bagaimanapun, dia mengakui pasukan terpaksa bermain secara bertahan setelah merasai tekanan luar biasa bermain di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

“Perlawanan memang dikuasai Terengganu. Kami mungkin dalam tekanan. Jadi, kami hanya bermain secara bertahan. Kami bertahan dengan baik dan berdisiplin,” katanya.

Dalam pada itu, mudah disapa Afro, dia juga sempat menzahirkan penghargaan rakan sepasukan kerana bermain mati-matian untuk memastikan Selangor FC gah ke pentas final piala tertua di Malaysia itu yang sebelum ini dikenali dengan nama Piala HMS Malaya.

“Saya hendak berterima kasih kepada kawan-kawan saya yang bermain mati-matian untuk malam ini. Bukan saya sahaja yang bermain seorang malam ini. Semua yang bermain saya hendak berterima kasih kerana bermain mati-matian. Alhamdulilah kami ke final,” jelasnya.

Dengan kejayaan ke final, ia juga bermakna Selangor FC hanya selangkah dari merebut kejuaraan ke-34 Piala Malaysia serta menghampiri misi ke Piala AFC musim hadapan.