PERPINDAHAN hak milik kelab Chelsea  selesai setelah jutawan dari Amerika Todd Boehly (gambar) telah membeli kelab tersebut dari pemilik sebelum ini, Roman Abramovich.

Chelsea mengesahkan di laman web rasminya pada Sabtu Boehly dan konsortiumnya akan mengambil alih kelab setelah dipersetujui kerajaan United Kingdom.

“Kelab Bola Sepak Chelsea mengesahkan bahawa terma telah dipersetujui bagi menyerahkan kepada pemilik baru diketuai Todd Boehly, Clearlake Capital, Mark Walter dan Hansjoerg Wyss,” ujar kelab Chelsea.

Pembelian berjumlah $4.25 billion itu telah dilakukan Boehly ekoran ketidakpastian masa depan Roman Abramovich terhadap kelab itu.

Boehly bersama rakan kongsinya, Mark Walter juga merupakan pemilik Dodgers serta taikun dari Switzerland, Hansjorg Wyss, dan Clearlake Capital  dipilih sebagai pembida yang akan mengambil alih Stamford Bridge.

Terdahulu, Boehly turut mendapat tentangan sengit daripada pembida lain seperti Stephen Pagliuca, Martin Broughton, Jim Ratcliffe.

Konflik tersebut sebelum ini berlaku disebabkan serangan Rusia ke atas Ukraine yang mendapat tentangan kerajaan United Kingdom sekaligus menyebabkan penggantungan dikenakan terhadap Abramovich yang juga merupakan rakyat Rusia.