KELIBAT penyerang Faizal Saari yang kembali memperkuat pasukan kebangsaan di Piala Negara-Negara hujung bulan ini, diharap memberikan impak positif kepada Speedy Tigers.

Meskipun Ketua Jurulatih A Arulselvaraj tidak meletakkan sebarang harapan terhadap satu-satu pemain, tidak dapat dinafikan menghantar Faizal beraksi di Liga Utama Belanda bersama kelab ZSV Schaerweijde, menunjukkan ada matlamat yang dimahukan dalam skuad kebangsaan.

“Sebelum hantar Faizal ke Eropah, sememangnya kita tahu tidak akan senaraikan dia di Piala Sultan Azlan Shah, demi kebaikan dia (Faizal) dan juga jangka panjang hoki negara. Jika kita menggunakan pemikiran cetek enggan lepaskan dia ke Belanda dan menyenaraikannya dalam skuad PialaSultan Azlan Shah, mungkin sia-sia.

“Tanpa kehadiran Faizal, kita gantikan dengan pemain yang tidak ada kaps dan berhasil, pasukan mencapai prestasi yang baik. Malah ia (menggunakan pemain muda) memberi tekanan kepada Marhan (Jalil), Shahri (Saabah) dan Faizal (Saari) untuk mempertahan posisi,” kata Arul.

Skuad negara akan bertolak ke Potchefstroom, Afrika Selatan menaiki pesawat pukul 7 malam ini, enam hari lebih awal dari pertandingan yang dijadualkan bermula 28 November, bagi tujuan membiasakan diri dengan cuaca serta venue beraltitud tinggi di sana.

Faizal Saari kembali dari Liga Eropah dengan kematangan dan lebih fokus menjalani latihan dua sesi bersam skuad kebangsaan.

Menurut Arul, sepanjang Faizal di Belanda, beliau mengikut rapat perkembangan penyerang prolifik itu menerusi komunikasi dengan jurulatih kelab.

“Dia agak lambat untuk serasi tapi akhirnya ‘settle down well’. Sekarang kelab itu minta untuk dia (Faizal) bermain lagi pada pusingan kedua liga, tapi saya tidak boleh memberi kata putus mengenainya kerana Faizal mempunyai kontrak bersama THT.

“Mungkin kami perlu berbincang semula menerusi mesyuarat atas talian menggunakan aplikasi Zoom Meeting, antara THT, kelab Belanda dan saya, berbincang untuk perancangan selanjutnya,” kata Arul.

ARTIKEL BERKAITAN : Kurang pendedahan antarabangsa antara faktor pemain remaja hoki negara ketinggalan

Ketika ditanya mengenai pandangan beliau, adakah lebih baik Faizal beraksi di Belanda atau kembali ke Liga Hoki Malaysia, Arul berkongsi pendapatnya.

“Pada pandangan saya, Faizal kembali dengan kematangan tinggi. Pada pandangan kasar saya, Faizal lebih berkeyakinan, berani dan menyerlah kepimpinannya kerana tidak mudah untuk berada di Eropah seorang diri selama tiga bulan.

“Dalam latihan juga, saya tidak pernah melihat dia sefokus ini. Kalau boleh bukan hanya Faizal tapi semua pemain saya nak hantar bermain di sana kerana liga di sana tempo permainannya tinggi.

“Mungkin untuk tahun hadapan, kita usahakan menghantar lebih ramai pemain beraksi di liga Eropah,” kata Arul.