BAHANG separuh akhir kedua Piala Malaysia 2022 yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC layak ke perlawanan akhir pada 26 November 2022 mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan meskipun berlangsung serentak dengan Piala Dunia.
Sama ada menerusi secara langsung atas talian mahupun kehadiran di stadium, kedua-dua perlawanan separuh akhir ini membuktikan Liga Malaysia mempunyai peminat tersendiri dan mampu menarik tumpuan.
Lebih empat juta tontonan dicatatkan menerusi siaran langsung di saluran YouTube unifi dan angka ini tidak termasuk angka tontonan siaran langsung di unifi TV dan TV Okey serta Sukan RTM.
Kehadiran penyokong di stadium juga mencatatkan angka yang memberangsangkan apabila Stadium Sultan Ibrahim dibanjiri 33,445 penyokong yang menyaksikan JDT menang keatas Sabah 3-1 untuk layak ke final dengan aggregat 4-1.
Sementara itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pula dihadiri seramai 33,352 penyokong yang menjadi saksi kemenangan tipis Terengganu FC 1-0 keatas Selangor FC namun gagal ke Bukit Jalil apabila tewas dengan aggregat 3-2.
Ini membuktikan sekiranya mutu bola sepak tempatan berada pada tahap tertinggi, Piala Dunia sekalipun tidak mampu menghalang keterujaan para penyokong setia.
🏆 PERLAWANAN AKHIR TM PIALA MALAYSIA 2022 🏆
🟦🟥 Johor Darul Ta’zim lwn Selangor FC 🟥🟨
Stadium Nasional Bukit Jalil | Sabtu, 26 November 2022 | 9 malam#TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/debiClICtK
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) November 21, 2022
Keterujaan ini pastinya akan dibawa ke perlawanan akhir yang akan menyaksikan dua pasukan dengan penyokong yang ramai ini akan menjadikan atmosfera yang luar biasa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.