GEORGE Russell (gambar) meletakkan jentera Mercedes yang dinaik taraf di tangga teratas pada sesi latihan bebas Grand Prix Miami sementara juara dunia, Max Verstappen gagal mencatat sebarang masa.

Verstappen tidak meninggalkan garaj pada peringkat awal sesi apabila Red Bull melengkapkan pertukaran kotak gear selepas beliau terlanggar tembok pada sesi pagi.

Verstappen berjaya keluar tetapi jelas jentera beliau mengalami masalah hidraulik yang memaksa beliau kembali ke pit dan kelihatan bergelut untuk mengawal jenteranya.

Ketika Verstappen bergelut, Russell mencatat masa 1m29.938 saat untuk meneruskan kebangkitan Mercedes mengatasi pendahulu keseluruhan Charles Leclerc dengan 0.106 saat.

Rakan sepasukan Leclerc, Carlos Sainz bertarung hebat merebut tempat teratas sebelum jenteranya berpusing sekaligus mengakibatkan bendera merah dan beliau hanya di tangga ke-11.

Sergio Perez pula meskipun berpusing dua kali berjaya mencatat masa ketiga terpantas manakala Lewis Hamilton keempat diikuti Fernando Alonso dan Lando Norris.

Banyak pemandu jelas masih bergelut dengan Litar Miami Autrodrome yang baharu ini dengan beberapa pemandu berpengalaman seperti Kevin Magnussen dan Sebastian Vettel turut berpusing di litar.

Sesi kelayakan Grand Prix Miami pertama akan berlangsung pada Ahad jam 4 pagi waktu Malaysia dan siapakah yang bakal menjadi pelumba pertama bermula dari petak hadapan di Miami.