KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon mendedahkan tumpuan utama pasukan Gergasi Merah pada ketika ini adalah untuk melayakkan diri ke slot Piala AFC musim hadapan.
Perkara itu disuarakan Dr. Johan setelah melihat pencapaian Selangor FC berjaya mara ke peringkat akhir setelah melepasi cabaran getir yang diberi pasukan Terengganu FC di peringkat separuh akhir.
“Memang tumpuan kami sepenuhnya adalah untuk slot ke Asia. Kita akan cuba berikan yang terbaik dan sudah tentu pada perlawanan akhir ini apa-apa boleh terjadi,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini, beliau mengakui Selangor FC sekali lagi akan turun sebagai pasukan ‘underdog’ namun tetap mempercayai skuad kendalian Tan Cheng Hoe memiliki ramuan tersendiri untuk mencatat sejarah buat juara 33 kali Piala Malaysia itu.
ARTIKEL BERKAITAN : CEO Selangor FC bagi amaran prestasi hambar Merah Kuning
“Pasukan JDT juga merupakan pasukan pilihan dalam perlawanan akhir ini, tetapi saya percaya jurulatih dan pemain mempunyai ramuan tersendiri untuk layak ke Asia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Johan turut berpuas hati dengan mutu pengadilan yang dipersembahkan dalam aksi separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak apabila tempoh 90 minit aksi tersebut berjaya dilangsungkan tanpa melibatkan insiden di luar kawalan.
“Saya rasa perlawanan tersebut berjalan dengan sangat lancar. Tiada insiden besar yang berlaku. Saya berpuas hati dengan persembahan dan semangat juang pemain,” jelasnya.
Selangor FC akan berdepan misi getir menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final Piala Malaysia Sabtu ini dan semakin menghampiri gelaran juara ke-34 piala tertua itu selain mengintai slot automatik ke Piala AFC seandainya berjaya menewaskan JDT.