PERTAHANAN Arsenal, Takehiro Tomiyasu mendakwa bahawa Jepun mempunyai semua ramuan yang diperlukan untuk menewaskan Jerman dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA yang akan berlangsung jam 9 malam ini.
“Kami mempunyai kualiti yang cukup untuk menewaskan mereka, sudah tentu kami perlu yakin, dalam masa sama kami perlu mencari keseimbangan,” kata pemain berusia 24 tahun itu di pangkalan latihan Jepun di Qatar.
“Kadang-kadang, kami perlu merendah diri dan realistik, tapi kami cuba untuk mengalahkan mereka dan kami bersedia untuk menewaskan mereka.
“Jerman adalah salah satu lawan paling sukar di dunia, namun apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak, dan kami akan merealisasikannya.”
Kedua-dua pasukan itu akan bertemu malam ini di Stadium Antarabangsa Khalifa di daerah Al Rayyan, Doha.
Pertemuan ini yang pertama buat Samurai Blue menghadapi juara empat kali itu di Piala Dunia.
Selepas mengalami kecederaan ketika bermain untuk pasukan Liga Perda menentang FC Zurich dalam Liga Europa awal bulan ini, tahap kecergasan Tomiyasu diragui sebelum ke Qatar, namun dia menegaskan tiada apa yang perlu dibimbangi.
“Saya bersedia untuk bermain. Saya cedera tiga minggu lalu, tetapi saya berasa sihat sekarang dan saya sudah bersedia,” katanya.
Pemain tengah Hidemasa Morita tidak berlatih dengan skuad sejak beberapa hari kebelakangan ini kerana kecederaan betis kiri, tetapi menyertai semula rakan sepasukannya di padang, Isnin lalu, menunjukkan dia semakin sihat.
Tomiyasu menganggap pemain Sporting Lisbon itu sebagai pemain utama dalam jentera Samurai Blue.
“Saya tidak tahu sama ada dia bermain atau tidak pada perlawanan pertama, tetapi dia adalah pemain yang hebat dan dia mampu mengawal permainan dan boleh membaca permainan, dia adalah pemain yang sangat penting untuk kami,” kata Tomiyasu.