BEKAS penyerang Johor FA, Hasnizam Uzir memberi bayangan bahawa Selangor FC perlu mengawal pemain ‘halimunan’ Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail.

Katanyaa, Afiq Fazail merupakan seorang pemain yang sukar diramal dan disebabkan namanya kurang ditekankan, dia mempunyai senjata ampuh untuk secara senyap-senyap mendatangkan bahaya ke kubu pertahanan Selangor FC.

“Saya rasa Selangor FC perlu beri perhatian kepada Afiq. Kalau Afiq dapat memainkan peranan, saya kira permainan JDT akan menjadi dominan.

“Di sini, saya lihat pemain tengah Selangor terutama Brendan Gan perlu bijak untuk mengawal permainan.

“Afiq ini dia dalam senyap dia akan menonjolkan dirinya kerana pihak lawan akan memberi tumpuan kepada Bergson, Velazquez dan Fernando Forestieri.

“Tetapi Afiq akan muncul di tempat yang orang tidak jangka. Dia akan hidupkan bola dan buat killer pass. Tahu-tahu sudah gol.

“Saya suka tengok Afiq, dia ada satu magik, kalau tengok sebelum ini berapa kali dia melakukan jaringan dalam keadaan yang orang tidak dapat jangka,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, Hasnizam menjelaskan sekiranya Selangor FC berhasrat mematikan rentak cemerlang JDT, mereka harus memperbanyakkan early cross serta tidak terlalu ke bawah apabila berada dalam tekanan.

“Selangor harus selalu melakukan early cross untuk mematikan langkah JDT. Kalau Selangor bijak ambil kesempatan, ia mungkin menjadi senjata untuk Selangor.

“Akan ada masalah di situ dan kalau kita lihat pemain Selangor ini bila dalam tekanan akan terlalu deep ke bawah. Bermain dengan JDT ini, mereka tidak boleh memberi ruang langsung kerana JDT memiliki kelebihan dari segi kemahiran teknikal dan kelajuan luarbiasa,” jelasnya.

Dari segi aspek keseluruhan, Selangor dijangka akan turun dengan mengawal tempo perlawanan dalam 10 hingga 15 minit pertama sebelum melakukan serangan menerusi permainan serangan balas.

“Selangor perlu memperlahankan rentak perlawanan dan bertahan dalam 10 hingga 15 minit. Selangor perlu melakukan serangan untuk membaca permainan,” ujarnya.