KOREA Selatan mengesahkan penyerangnya Son Heung-min akan bermain pada aksi pembukaan Kumpulan H malam ini (Khamis).

Pengendali Taegeuk Warriors, Paulo Bento memberi keyakinan bahawa penyerang dan kaptennya itu bersedia diturunkan bertemu Uruguay.

“Son boleh bermain. Dia akan pakai topeng muka yang tidak menyusahkannya. Ia sudah menjadi natural baginya.

Pemain prolifik Korea Selatan itu mengalami kecederaan soket mata awal bulan ini ketika aksi Liga Juara-Juara Tottenham bertemu Marseille sekaligus menyebabkan dia terlepas tiga perlawanan terakhir kelab sebelum rehat Piala Dunia.

Ketika tiba di Qatar, Son telah dilihat berlatih menggunakan topeng, mencetuskan khabar angin sama ada penyerang itu akan memakainya untuk bermain dalam perlawanan kompetitif.

“Kami telah berpegang kepada rancangan awal sejak tiba di sini dan juga cara sendiri untuk dia menyesuaikan diri secara natural.

“Kita lihat esok bagaimana keadaannya. Harapan kami agar dia akan berasa selesa dan akan menggunakan strategi terbaik supaya berada dalam keadaan itu (selesa).

“Tetapi dia tahu bahawa kami tidak boleh menolak sebarang risiko,” jelas jurulatih Portugis itu.

Dalam pada itu, Bento turut memuji pasukan Uruguay yang mempunyai pemain-pemain individu yang berkualiti di bawah bimbingan Diego Alonso.

“Sudah tentu ia akan menjadi perlawanan yang sengit. Kami berdepan dengan lawan yang berkualiti tinggi, kemahiran teknikal yang hebat.

“Mereka sangat tersusun di semua level. Mereka mempunyai pengalaman hebat berdepan dengan aksi Piala Dunia, pemain-pemain juga bermain di level kelab tertinggi.

“Jadi perlawanan ini kami perlu tunjukkan yang terbaik untuk menyaingi mereka,” jelas Bento.