Ulasan: MOHD FARIQ
SAUDARA Anwar Ibrahim – begitulah panggilan mesra buat tokoh poilitik yang jatuh bangun selepas menyertai UMNO pada 1982 dan seterusnya menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kelapan pada 1983-1984.
Dalam waktu yang singkat memegang portfolio itu, Anwar meneruskan usaha menjadikan Kompleks Sukan Negara yang diilhamkan pada 1970-an dengan meletakkan batu-batu asas mentransformasikan sebuah ladang yang dipenuhi pokok belimbing kepada sebuah hab sukan negara.
Dilantik selaku Perdana Menteri ke-10 hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditabalkan ke pucuk pimpinan tertinggi negara pada saat negara berdepan kemelut ekonomi, manakala Malaysia masih menagih pingat emas di Sukan Olimpik meskipun mengirim kontinjen ke semua temasya Olimpik sejak Melbourne 1956.
Pertama rakyat secara umumnya mahu semua parti politik merapatkan saf bagi merencanakan hala tuju negara mengikut naratif baharu mendepani Orde Dunia Baharu yang diuar-uarkan Anwar ketika beliau dalam Kerajaan dahulu.
Kedua, eloklah Anwar melantik seorang Menteri Belia dan Sukan yang dinamik, strategik dan memahami dunia milik generasi Tik Tok tanpa mengetepikan kebijaksanaan Baby Boomers atau Gen X.
Kenapa ini penting?
Kerana sukan adalah ejen perpaduan paling solid, ampuh dan mapan.
Lihat impak bola sepak Piala Dunia FIFA di Qatar. Selain mengumpul jutaan penonton global yang cukup tinggi, ia menjadi platform pemain menyuarakan pendapat politik, sama ada positif atau negatif.
Prestasi Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Azizulhasni Awang dipantau dan disokong rakyat Malaysia tanpa mengenal ras, agama dan usia. Kejayaan mereka dirai, kegagalan mereka ditangisi bersama.
Sekalipun 10 Tawaran Pakatan Harapan yang diterajui oleh Anwar tidak menyentuh keluarga sukan, beberapa nilai universal yang diperjuangkan atau ditawarkan kepada pengundi harus membantu memperkasakan semua pemegang taruh sukan negara.
Kena ingat, atlet juga harus menangani kos sara hidup (Tawaran No 1), mereka juga golongan belia yang harus diperkasa dari segi ekonomi ketika di kemuncak kerjaya dan selepas bersara (Tawaran Ketiga). Selain itu andai Kerajaan pimpinan Anwar mahu perkasakan wilayah Sabah dan Sarawak (Tawaran Kelapan), ada berpuluh daerah yang memiliki bakat terpendam dalam sukan tetapi berdepan cabaran dari segi logistik.
Anwar tentu faham bahawa untuk meningkatkan daya saing rakyat Malaysia (Tawaran Kesembilan), daya saing dalam sukan adalah satu naluri manusia paling asas!
Bagi penulis, Anwar boleh mempertimbangkan beberapa calon untuk portfolio Belia dan Sukan yang sepatutnya bukan paling junior dalam Kabinet. Jawatan Belia dan Sukan sepatutnya menjadi kunci menawan pengkritik dan pembangkang.
Menangi hati belia tanpa mengetepikan hak warga perak dan warga emas!
Sukan bukan membina perwatakan, sukan mendedahkan belang sebenar manusia!
Sama ada Fahmi Fadzil, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Young Syefura Othman, Steven Sim atau sesiapa sahaja dalam kalangan Ahli Parlimen yang memperjuangkan nasib atlet dan anak muda, mereka harus sedar kebanyakan pertubuhan dalam ekosistem diterajui Baby Boomers dan Gen X.
Sepak terajang dalam sukan menuntut kematangan. Selain Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen, ada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Pejabat Pesuruhjaya Sukan serta hampir 50 persatuan sukan kebangsaan yang barangkali menuntut naratif baharu bagi mengangkat martabat sukan negara.
Adanya Akta Pembangunan Sukan 1997, Dasar Sukan Negara 1988 yang dipinda 2009 dan Visi Sukan Negara 2030 adalah dokumen dasar yang harus dikuatkuasakan tanpa ada unsur ketirisan agar potensi masyarakat sukan dipenuhi.
Untuk dihormat, belajar menghormati!
Nombor 10 kalau dalam istilah bola sepak lazimnya dikaitkan dengan posisi playmaker, perancang dan perencana, secara umumnya dianggap nadi paling kreatif dalam pasukan.
Maka PM10, lakarlah Script for A Better Malaysia, menerusi sukan!
Selamat maju jaya PM10!