KEM Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat tenang dan ceria pada sesi latihan rasmi yang diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menjelang aksi final Piala Malaysia 2022 pada Sabtu.

Tambah menarik, Harimau Selatan dilihat membawa skuad yang besar dengan lebih daripada 40 pemain termasuk beberapa pemain dari skuad Johor Darul Ta’zim II yang turut menjalani latihan bersama-sama.

Beberapa pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan seperti Syamer Kutty Abba dan Shane Lowry turut dilihat kembali menjalani latihan ringan diketuai fisioterapis pasukan sambil barisan kejurulatihan tenang mencatur strategi dan pemilihan pemain yang bakal ditentukan.

Pemain-pemain JDT giat menjalani latihan

Pengendali JDT Hector Bidoglio menjelaskan bahawa tindakannya membawa kesemua pemain yang ada di dalam skuad adalah untuk mencipta rasa kekitaan kepada semua pemain sebagai seorang insan.

“Sebab utama kami membawa jumlah pemain yang ramai adalah kerana kami mahu mencuba persekitaran sekompak mungkin sebagai rakan sepasukan di dalam skuad ini dengan mewujudkan semangat kekitaan sebagai seorang insan.

“Kelebihan mempunyai skuad yang besar juga memberikan kami peluang untuk mencuba seberapa banyak pemain dan memberikan peluang yang baik untuk semua pemain beraksi dalam mana-mana perlawanan”, katanya dalam sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Barisan kejurulatihan JDT

Perkara ini turut disokong kapten pasukan, Farizal Marlias yang gembira dengan semangat dan motivasi rakan sepasukannya yang menjadi antara elemen penting dalam mencipta kejuaraan dalam final kali ini.

“Kami sudah melupakan kekecewaan tewas di final musim lalu dan kini fokus kami hanyalah pada perlawanan akhir ini dengan kesemua pemain berada pada tahap yang terbaik,” katanya.

Kemungkinan mengapa JDT membawa skuad yang besar ke Bukit Jalil kali ini juga mungkin kerana dua hari selepas final, JDT akan berhadapan Borussia Dortmund dalam perlawanan persahabatan kelab antarabangsa dan peluang ini digunakan sebaiknya oleh barisan kejurulatihan JDT untuk mempersiapkan pasukan.