KESELAMATAN dan keselesaan penyokong sentiasa menjadi keutamaan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia dan atas sebab itu, pelbagai barangan yang dikategorikan sebagai berbahaya tidak dibenarkan di bawa masuk.

Namum begitu masih ramai penyokong yang tidak menyedari akan larangan ini dan masih membawa barangan tersebut sehingga ditahan pihak berkuasa di pintu masuk.

Segalanya kini berubah apabila inisiatif daripada beberapa anak muda yang diketuai oleh Khairul Azwan Mislan telah menyediakan khidmat menyimpan barangan dengan bersebelahan pintu B.

Khairul Azwan Mislan dengan barangan yang dititip

Inisiatif ini turut mendapat pujian para penyokong yang tidak perlu bimbang untuk meninggalkan barangan peribadi mereka ketika sedang berseronok menonton perlawanan bola sepak.

Khairul Azwan berkata idea ini timbul ketika aksi final Piala FA lalu yang menyaksikan banyak barangan terpaksa ditinggalkan di luar tanpa kawalan malah ada juga makanan yang menjadi pembaziran.

“Saya terpaksa bekorban untuk tidak menyaksikan perlawanan malam ini asalkan saya mampu menyenangkan hati para penyokong lain apabila barangan mereka terjaga dengan baik,” katanya.

Antara barangan yang ditinggalkan

Perkara ini turut dikongsi para penyokong yang nyata gembira dengan servis yang disediakan oleh mereka dan kini dapat menyokong pasukan kegemaran dengan lebih tenang.

“Sangat mudah kerana lokasi mereka terletak betul-betul di sebelah pintu masuk dan harga yang dikenakan juga berpatutan dan yang paling penting hati saya senang untuk menonton malam ini,” kata salah seorang penyokong yang mahu dikenali sebagai Cik Norbaya.

Inisiatif ini mungkin juga boleh dimulakan oleh pihak pengelola selepas ini kerana ianya bukan sahaja memudahkan penyokong tetapi keselamatan di dalam stadium dapat ditingkatkan.