KUALA Lumpur City FC gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila tumbang 1-2 kepada pasukan Sri Pahang FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium KLFA.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan kawalan bola yang baik namun tuah memihak kepada pelawat apabila Nor Azam Azih bijak meletakkan pelawat mendahului 1-0 pada minit ke-32.

Kelebihan satu gol buat pasukan pelawat kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua memperlihatkan ketajaman pasukan Sri Pahang FC  dengan beberapa kombinasi yang hampir mengucar-kacirkan pertahanan Kuala Lumpur City FC.

Minit ke-78 pula menyaksikan Sri Pahang FC menambah derita tuan rumah apabila M. Hidalgo berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk pelawat selesa 2-0 di hadapan.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur City FC enggan mengalah apabila Paulo Josue merembat kemas bola merapatkan jurang gol.

Gol tersebut jelas menyuntik semangat tuan rumah dengan asakan bertali arus ke kubu pelawat namun gagal menemui gol penyamaan sehingga wisel penamat dibunyikan berkesudahan dengan kemenangan memihak kepada Sri Pahang FC.

Kekalahan tersebut menyaksikan Kuala Lumpur City FC berputih mata apabila gagal mengutip sebarang mata di laman sendiri manakala Sri Pahang FC melonjak ke tangga ke-6 Liga Super dengan 7 mata, dengan memiliki kelebihan satu perlawanan.