HANYA ada satu TMJ. Inilah ungkapan yang paling tepat untuk menggambarkan kehebatan seorang individu yang berjaya mengubah lanskap bola sepak negeri Johor tetapi juga bola sepak negara.

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bersama-sama pemain dan penyokong setia JDT meraikan kejayaan menjuarai Piala Malaysia sekaligus melengkapkan musim 2022 yang gemilang.

JDT berjaya menyapu bersih kesemua piala domestik yang dipertandingkan dan langsung tidak tewas dalam pertandingan tempatan dalam tahun yang luar biasa bagi Harimau Selatan sejak ditubuhkan pada 2013.

Bukan hanya di peringkat tempatan, JDT juga cemerlang di peringkat Asia apabila berjaya layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC selepas menduduki tangga teratas peringkat kumpulan.

TMJ sudah meletakkan penanda aras yang sangat tinggi dalam senario bola sepak tempatan dan kini dilihat sukar untuk dicabar oleh mana-mana pasukan yang bertanding.

Walaupun sudah meraih banyak kejayaan namun TMJ tetap menghormati pihak lawan apabila bersalaman mesra dengan DYMM Sultan Selangor dan juga Raja Muda Selangor selepas tamat perlawanan.

Sebenarnya bukan mudah untuk mengekalkan kejuaraan selepas JDT telah memenangi semua piala yang ada dan inilah kelebihan yang ada pada TMJ dalam memotivasikan para pemain untuk masih dahagakan kemenangan dan kejuaraan.

Trofi yang dimenangi pasukan senior dan junior JDT pada 2022.

Berdasarkan temubual bersama para pemain, kesemua menyatakan TMJ adalah ketua yang baik dengan menjaga kebajikan mereka sehingga para pemain dapat menumpukan sepenuh perhatian dan fokus ketika di dalam padang.

Atas faktor-faktor inilah JDT kini berjaya memenangi 22 trofi sejak 2013 dan kelihatan sukar dihentikan kerana hanya ada satu TMJ.