JURULATIH kelab gergasi Jerman Borussia Dortmund, Edin Terzic memuji Stadium Sultan Ibrahim dengan menganggapnya sebagai menakjubkan dan menepati apa yang telah didengarinya tentang stadium ini sebelum ini.

Selain itu, dia turut memuji para penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hadir kerana memberikan satu atmosfera yang menakjubkan sekaligus memberikan pengalaman yang baik kepada para pemain mudanya.

Pengendali berusia 40 tahun itu juga gembira dengan permainan yang ditunjukkan pasukan Harimau Selatan kerana telah memberi satu perlawanan yang hebat dan penting buat pasukannya melakukan persediaan untuk mengharungi musim yang berbaki.

Pengendali Borussia Dortmund, Edin Terzic

“Hanya ada satu perkataan untuk stadium ini iaitu ianya sangat menakjubkan. Saya mendapat khabar bahawa ianya adalah antara salah satu stadium tercantik di Asia dan kami dapat merasainya dan ianya sangat hebat.

“Stadium ini bukan sahaja mempunyai padang yang baik, tetapi para penyokong juga sangat hebat dengan atmosfera yang hebat. Anda dapat merasakan rasa cinta para penyokong kepada pasukan JDT dan ianya memberikan pemain muda kami pengalaman yang cukup baik.

“Perlawanan pada malam ini cukup baik untuk kami berada dalam ritma kecergasan dan juga memberikan peluang kepada pemain kami untuk beraksi. Ianya bukan mudah dengan keadaan cuaca yang berbeza dengan di Jerman tetapi kami melakukan tugas yang baik dan kini bersedia untuk mengharungi baki musim Bundesliga,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

 

Borussia Dortmund yang dalam rangka perlawanan persahabatan antarabangsa di Asia Tenggara bakal terbang ke Vietnam bagi menghadapi skuad kebangsaan Vietnam di Hanoi selepas melakukan persinggahan pertama di Singapura sebelum ini.