JENAMA Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin lama semakin kukuh dalam arena bola sepak tempatan malah kini jenama ini semakin meluaskan kuasa ke peringkat Asean, Asia dan kini Eropah.

Ini bukanlah perkara baharu yang dilakukan JDT kerana sejak ditubuhkan pada 2013, pelbagai kejayaan di dalam dan di luar padang berjaya menarik perhatian pemerhati bola sepak ditambah dengan fasiliti canggih yang lengkap bersesuaian dengan kehendak bola sepak moden.

Kehadiran Borussia Dortmund ke Stadium Sultan Ibrahim dalam rangka perlawanan persahabatan antarabangsa dilihat berjaya menaikkan lagi jenama JDT ke pentas dunia apabila perlawanan itu mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa.

 

Selain dengan stadium yang dipenuhi lebih 33 ribu penonton, siaran langsung menerusi saluran YouTube JDTTV juga meraih 1.7 juta tontonan dan angka ini tidak termasuk jumlah tontonan siaran langsung melalui saluran Astro Arena.

Menerusi tinjauan FLASH SUKAN yang turut berada di Stadium Sultan Ibrahim, banyak media antarabangsa turut hadir dengan membuat lintas langsung di perkarangan stadium disamping melaporkan keseluruhan permainan yang berkesudahan dengan Dortmund menang 4-1.

Media Bundesliga, media Borussia Dortmund, Sky Sports Germany serta agensi foto antarabangsa, Getty Image adalah antara media antarabangsa yang hadir membuat liputan sekaligus memberikan pendedahan jenama JDT ke pasaran bola sepak Eropah.

Berita yang dilaporkan di laman rasmi BVB

Ditambah pula dengan laman sosial milik para pemain bintang Dortmund seperti Marco Reus, Emre Can dan Matt Hummels, nama Harimau Selatan dan penyokong JDT kini semakin mendunia dan ianya juga terpapar di laman rasmi kelab gergasi Jerman itu.

Inilah yang sentiasa ditekankan oleh pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang mahukan jenama JDT ini terus dikenali dalam arena bola sepak antarabangsa kerana ianya adalah kunci utama kepada peningkatan nilai komersil kelab yang mampu menjana penajaan daripada pelbagai pihak.