SAINGAN Skuasy Terbuka Hong Kong yang bermula semalam, menyaksikan hanya tinggal dua wakil Malaysia layak ke pusingan ketiga esok.
Pemain senior, Ivan Yuen melakar kejutan ke atas pilihan ke-9/16 dari Mesir, Omar Mossad, dengan kemenangan 3-1 (11-3, 10-12, 11-5, 11-5 dalam masa 49 minit untuk menempah pertemuan dengan pilihan keempat dari England, Mohamed El Shorbagy.
Terdahulu, Shorbagy menyingkir cabaran pemain utama negara, Ng Eain Yow dalam pertarungan tiga set yang mengambil masa 32 minit.
Bekas pemain nombor satu dunia yang dukunya mewakili Mesir itu menang 11-9, 11-9, 11-5.
Dalam pada itu, Aifa Azman yang melonjak ke ranking ke-21 dunia minggu ini, terus cemerlang apabila menjinakkan pemain Mesir, Mariam Metwally.
Pemain yang terlepas gelaran Terbuka Malaysia itu mencapai kemenangan 6-11, 13-11, 11-5, 11-5 dalam masa 41 minit.
Justeru, Aifa mara ke pusingan ketiga esok (Rabu), dan perlu lebih segar dan cergas kerana menantinya seorang lagi pemain Mesir, Hania El Hammamy yang juga pilihan ketiga kejohanan.
Adik kepada Aifa, iaitu Aira Azman bagaimanapun gagal mengikut jejak langkah kakaknya itu, apabila tewas kepada Satomi Watanabe dari Jepun, 9-11, 6-11, 12-14 dalam masa 48 minit.
Turut kandas, Chan Yiwen, tewas kepada seorang lagi pemain Mesir, Sana Ibrahim 5-11, 11-6, 10-12, 6-11 dalam masa 48 minit.
Pemain senior negara, Low Wee Wern pula kalah kepada pemain tuan rumah, Tong Tsz Wing 9-11, 9-11, 7-11.