PEMANDU Scuderia Ferrari (gambar), Charles Leclerc bakal bermula pada petak utama untuk perlumbaan sulung Grand Prix Miami selepas mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan pada Sabtu.
Leclerc mencatat masa 1 minit 28.796 saat di Litar Miami Autrodrome mendahului Ferrari 1-2 dengan rakan sepasukan, Carlos Sainz di tempat kedua dan Max Verstappen akan bermula di tempat ketiga untuk grid permulaan esok.
Grand Prix Miami yang melakukan debut pada musim ini memberikan cabaran baharu buat para pemandu dengan mereka masih mempelajari selok belok litar serta menghadapi masalah kekurangan cengkaman pada tayar.
Lima pemandu dengan masa paling perlahan tersingkir pada sesi kelayakan pertama. Kevin Magnussen, Guanyu Zhou, Alexander Albon dan Nicolas Latifi akan memulakan perlumbaan di tangga ke-16 hingga 19 manakala Esteban Ocon yang gagal memulakan sesi akan bermula di petak terakhir.
Fernando Alonso, George Russell, Sebastian Vettel, Daniel Ricciardo dan Mick Schumacher tersingkir di sesi kelayakan kedua dan akan memulakan perlumbaan di petak ke-11 hingga ke-15
Sesi kelayakan ketiga yang mendebarkan menyaksikan 10 pemandu terpantas bersaing merebut petak utama dan akhirnya Leclerc muncul pemandu terpantas untuk bermula pada petak hadapan.
“Ianya sangat menakjubkan. Semuanya berlangsung dengan baik hari ini. Kami akan bermula di petak utama dan kami perlu menyelesaikan tugasan yang penting esok,” ujar Leclerc ketika temubual selepas tamat sesi kelayakan.
Mampukah Leclerc dan Ferrari memanfaatkan petak pertama ketiga musim ini untuk bergelar juara pertama Grand Prix Miami, saksikan perlumbaan menarik ini jam 3.30 pagi Isnin waktu Malaysia.
Keputusan Sesi Kelayakan Grand Prix Miami
1. Charles Leclerc – Ferrari
2. Carlos Sainz – Ferrari
3. Max Verstappen – Red Bull
4. Sergio Perez – Red Bull
5. Valtteri Bottas – Alfa Romeo
6. Lewis Hamilton – Mercedes
7. Pierre Gasly – Alpha Tauri
8. Lando Norris – McLaren
9. Yuki Tsunoda – Alpha Tauri
10. Lance Stroll – Aston Martin
11. Fernando Alonso – Alpine
12. George Russell – Mercedes
13. Sebastian Vettel – Aston Martin
14. Daniel Ricciardo – McLaren
15. Mick Schumacher – Haas
16. Kevin Magnussen – Haas
17. Guanyu Zhou – Alfa Romeo
18. Alexander Albon – Williams
19. Nicolas Latifi – Williams
20. Esteban Ocon – Alpine