PERJALANAN Qatar di Piala Dunia merupakan rekod terburuk pasukan tersebut yang kali pertama layak beraksi di pentas tertinggi atas tiket tuan rumah sepanjang 92 tahun penganjuran trofi dunia itu.
Ketua Jurulatih Qatar, Felix Sanchez tidak dapat menerima hakikat apabila anak-anak buahnya terlalu gugup beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan.
Lebih memilukan, The Maroon gagal bermain permainan sebenar dan kesilapan sendiri membolehkan pasukan lawan sentiasa mencari ruang menjaringkan gol.
“Saya tidak mahu memberi alasan, sebaliknya mengucapkan tahniah kepada pihak lawan kerana mereka berhak memenangi perlawanan ini.
“Kami merasai sokongan para penyokong dan harap mereka akan lebih berbangga dengan kami dalam kejohanan akan datang. Mereka tahu kami mampu lakukan dengan lebih baik.
“Perasaan gugup menghukum kami selepas bermula dengan teruk. Kami tidak dapat melakukan hantaran dengan betul, pertahanan juga longgar dan tidak seimbang sekali gus menyukarkan kami,” katanya.
Biarpun tampil sebagai tuan rumah, kejohanan Piala Dunia 2022 merupakan suatu detik hitam buat pasukan tersebut kerana tewas ketiga -tiga perlawanan peringkat kumpulan A.
Segalanya bermula apabila The Maroon tunduk di tangan Ecuador 2-0 pada aksi pembukaan sebelum tewas 3-1 berdepan Senegal dan terkini 2-0 di tangan Belanda.
Memori hitam tersebut semakin parah apabila Qatar dikritik hebat bukan sahaja atas persembahan pasukan mereka namun dari segi larangan mereka terhadap pembawaan minuman keras, alkohol, pemakaian yang sopan dan menentang konsep LGBTQ yang ditentang hebat Amerika Syarikat dan negara benua Eropah yang lain.