JENTERA serangan Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan bakal berwajah baharu susulan ketiadaan Faisal Halim, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.
Naib juara Liga Super dan Piala FA itu telah berjaya mendapatkan khidmat pemain sayap Haiti, Sony Norde selain difahamkan turut mengintai kelibat penyerang kelahiran Croatia.
Norde merupakan bekas pemain Melaka United FC sebelum ini.
Menurut sumber, seorang lagi pemain tengah Croatia juga berada dalam senarai untuk dibawa masuk memperkuatkan TFC dengan Habib Haroon menjadi pemain tunggal dikekalkan.
“Sony (Norde) telah pun tiba untuk menandatangani kontrak beberapa hari yang lalu dan akan diumumkan secara rasmi sebagai pemain import TFC bila-bila masa saja.
“Dua lagi pemain kelahiran Croatia iaitu penyerang dan pemain tengah pula telah dikenalpasti dengan status ketua jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner juga bakal diumumkan tidak lama lagi.
“Namun nasib pemain import TFC II, Jordan Mintah, Luke Woodland dan Argzim Redzovic pula masih samar meskipun kontrak mereka hanya akan tamat hujung tahun depan,” ujarnya.
Katanya lagi, kehadiran awang import baharu itu akan mengisi tempat Tchetche, Sherman, Manuel Ott, Petrus Shitembi dan Pape Diakite yang membawa haluan masing-masing.
Malah, sumber pasukan itu juga tidak menolak kemungkinan TFC bakal berbelanja besar setelah kelab Liga M dibenarkan mendaftar sembilan pemain import musim depan.
Namun katanya, barisan teknikal Sang Penyu sedang meneliti calon terbaik bagi mengisi kuota Asean menggantikan Ott yang akan berhijrah ke sebuah pasukan Liga M.
“Beberapa nama lain juga masih dalam pertimbangan pihak pengurusan dan bergantung kepada strategi pengendali baharu kelak.
“Apa yang pasti, TFC akan membuat rombakan melibatkan pemain import bagi mengekalkan prestasi dalam Liga M serta memberi cabaran di pentas Piala AFC,” tambahnya.