PENYERANG Argentina Paulo Dybala langsung tidak mendapat minit permainan pada Piala Dunia 2022. Jurulatihnya, Lionel Scaloni berkata, ia antara sebahagian isu taktikal.
Dybala telah dipanggil menyertai skuad Albiceleste untuk Piala Dunia 2022 selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama AS Roma pada separuh pertama musim ini.
Sebanyak tujuh gol ditambah dua bantuan menandakan sumbangan La Joya dalam 12 perlawanan Roma dalam semua pertandingan.
Bagaimanapun, Dybala setakat ini tidak digunakan di Argentina. Scaloni lebih suka menggandingkan Lionel Messi dengan Lautaro Martinez di barisan hadapan (lawan Arab Saudi), serta memasukkan Angel Di Maria dalam formasi tiga serangan (lawan Mexico).
Argentina memerlukan kemenangan ke atas Poland untuk memastikan tiket ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022. Perlawanan akan berlangsung di Stadium 974, awal pagi Khamis nanti.
Scaloni ingin memastikan Paulo Dybala cergas, tidak cedera. Bagaimanapun, katanya itu tidak bermakna Dybala tidak akan bermain dalam baki kejohanan.
Lionel Scaloni on why Paulo Dybala hasn't played at the World Cup: "It's a tactical decision. Paulo is good, from the point of view that Argentina won. He surely wants to play like all of his team mates. Now we decide this, we will see the next match." pic.twitter.com/y7C4ivnTZ1
— Roy Nemer (@RoyNemer) November 29, 2022
“Jika dia tidak bermain, ia hanya keputusan taktikal,” kata Scaloni pada sidang akhbar, dipetik oleh wartawan Gianluca Di Marzio. “Paulo tidak apa-apa, dia menyokong pasukan dari luar.
“Dia pastinya mahu bermain seperti rakan sepasukannya yang lain. Tetapi itu tidak bermakna ia tidak akan berlaku dalam perlawanan seterusnya di Piala Dunia,” kata jurulatih berusia 44 tahun itu.
Selepas debut pada 2015, Paulo Dybala telah mencatatkan 34 kaps untuk Argentina. Walaupun begitu, sejak Lionel Scaloni mengambil alih jawatan jurulatih, Dybala hanya bermain 21 kali dengan hanya sembilan kali sebagai pemula dan 12 kali pemain gantian.