AUSTRALIA berjaya layak ke peringkat 16 terbaik Piala Dunia FIFA Qatar 2022 selepas berjaya mengenepikan cabaran semi finalis Euro 2020, Denmark dan mengecewakan Tunisia yang menewaskan Perancis dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C yang berlangsung serentak.

Jaringan tunggal Mathew Lackie pada minit ke-60 cukup untuk memberikan Australia tiga mata sekaligus layak mengiringi Perancis ke peringkat seterusnya dan bakal bertemu pemenang Kumpulan D.

Dengan ketiga-tiga pasukan, Australia, Tunisia dan Denmark masih mampu layak, kedua-dua perlawanan berlangsung sengit dengan Tunisia dilihat sebelah kaki ke pusingan kalah mati apabila mendahului skuad kedua Perancis pada minit ke-58.

 

Bagaikan menyedari bahaya yang bakal menimpa sekiranya tidak memenangi perlawanan, Australia berjaya mendapatkan jaringan menerusi serangan balas dan kelebihan individu yang ada pada Lackie untuk menewaskan Kasper Schmeichel di gawang Denmark.

Skuad Denmark gagal mempamerkan aksi memberangsangkan pada kempen Piala Dunia kali ini dengan serangan yang tumpul hingga menyaksikan mereka menghuni tangga terbawah dengan hanya satu mata.

Mathew Lackie meletakkan Australia di hadapan

Australia pula meskipun dibelasah 4-1 pada perlawanan pembukaan oleh Perancis berjaya bangkit pada perlawanan kedua menewaskan Tunisia sebelum membenam Denmark untuk layak ke pusingan 16 terbaik selepas kali terakhir melakukannya pada 2006.

Perancis dan Australia kini perlu menunggu lawan masing-masing dari Kumpulan D dengan Argentina, Mexico, Arab Saudi dan Poland masih bersaing untuk merebut dua tempat teratas dan meneruskan cabaran dalam Piala Dunia kali ini.