PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor menempelak kenyatan yang dikeluarkan oleh pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengenai panggilan pemain mewakili skuad kebangsaan.

Pan Gon sebelum ini bercakap kepada media bahawa ini adalah pertama kali dalam kariernya sebagai jurulatih menyaksikan pemain kebangsaan menolak tawaran untuk mewakili skuad kebangsaan.

Ini ekoran 13 pemain yang meminta pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tidak menyertai skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 atas alasan peribadi.

Tangkap layar Instagram story Tunku Mahkota Johor

Tunku Ismail berkata demikian menerusi hantaran di Instagram story miliknya sendiri dengan berkata semua pemain tidak menolak secara sembarangan untuk tidak mewakili negara sebaliknya mereka beraksi cukup cemerlang ketika mewakili negara dalam mana-mana perlawanan di dalam kalendar antarabangsa FIFA.

Baginda juga mempersoalkan mengapa kem latihan pusat kebangsaan perlu mengambil masa sehingga tiga minggu berbanding seminggu sahaja seperti yang diamalkan oleh negara-negara di Eropah.

ARTIKEL BERKAITAN : Persiapan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, Kim Pan Gon panggil 29 pemain

Tunku Ismail juga mahukan pihak berkenaan untuk memiliki sikap bertimbang rasa kepada pemain kerana mereka sudah bekerja keras sepanjang tahun dan mereka juga adalah manusia yang perlukan rehat dan waktu bersama keluarga.

Baginda juga memberikan kiasan bagaimana jika kita membeli kenderaan dan menjaganya dengan baik tetapi ianya rosak apabila digunakan oleh pihak lain dan kita yang perlu menanggung kos pembaikan kenderaan itu.

Kejohanan dwi tahunan AFF ini sering dianggap menggangu cuti para pemain kerana diadakan pada akhir tahun dan ianya di luar kalendar antarabangsa FIFA yang tidak mewajibkan pasukan untuk melepaskan pemain mewakili skuad kebangsaan.

“Sikap kemanusiaan adalah salah satu faktor kunci kejayaan,” tulis TMJ beserta gambar Baginda dijulang para pemain JDT ketika meraikan kejayaan meriah kejuaraan ‘Quadruple’ musim ini.

ARTIKEL BERKAITAN : Akram, Lambert tidak sertai kem latihan Harimau Malaya