PEMAIN remaja kebangsaan, Haqimi Azim Rosli bersyukur kerana terpilih buat kali pertama ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya menjelang Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Haqimi turut mendedahkan bahawa bukan mudah buatnya untuk menyesuaikan diri dengan taktikal Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon namun dia gembira kerana dapat mempelajari banyak perkara dari pemain-pemain senior dalam pasukan.
Dia juga menolak untuk membicarakan tentang peluangnya sama ada berjaya mendapat tempat dalam senarai akhir 23 pemain dan akan menggunakan pengalaman ini untuk merebut tempat.
Pemain berusia 19 tahun ini juga tidak pasti sama ada pemilihannya ke skuad senior kebangsaan adalah berdasarkan tuah atau nasib kerana dia telah memberikan yang terbaik ketika beraksi bersama Kuala Lumpur City FC dibawah kendalian Bojan Hodak.
“Saya bersyukur kerana telah terpilih dalam skuad kebangsaan buat pertama kali dalam karier saya dan saya dapat mempelajari banyak perkara di bawah kendalian Kim Pan Gon walaupun pada awalnya agak sukar untuk saya sesuaikan diri.
“Saya baru berusia 19 tahun dan banyak perkara yang perlu saya pelajari daripada pemain senior dan saya tidak pasti tentang peluang saya untuk masuk ke senarai akhir kerana saya masih di peringkat permulaan dan saya akan terus berlatih untuk merebut peluang itu.
“Saya juga tidak boleh menyatakan sama ada ianya tuah atau nasib kerana saya bermain untuk KL dan saya telah lakukan yang terbaik apabila Bojan Hodak memberi saya peluang bermain dan saya terkejut apabila nama saya tersenarai dalam skuad ke Piala AFF dan saya bangga dan gembira buat keluarga dan rakan-rakan yang menyokong saya dari bawah.
“Jika saya terpilih saya akan berikan 100 peratus untuk pasukan dan saya akan tunjukkan kepada jurulatih apa yang saya mampu lakukan di posisi serangan ini,” katanya ketika ditemui media pada sesi latihan rasmi skuad kebangsaan.
ARTIKEL BERKAITAN : Haqimi Azim kini aset masa depan KL City FC
Haqimi turut berkongsi bahawa dia sememangnya memasang hasrat untuk menyarung jersi kebangsaan sejak berusia empat tahun ketika dia mula bermain bola sepak dan mengikuti ayahnya ke stadium dan kini mempunyai peluang untuk melakukannya pada usia 19 tahun.
Memilih Safee Sali sebagai pemain idola, Haqimi turut berpesan kepada pemain remaja lain supaya terus bekerja keras, berdisiplin, merendah diri dan mendengar arahan daripada jurulatih.