SKUAD hoki kebangsaan mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara FIH, selepas mencapai kemenangan kedua pada perlawanan terakhir kumpulan B, menentang Jepun, sebentar tadi.
Pada perlawanan di Universiti North-West, Potchefstroom, Afrika Selatan itu, Speedy Tiger meledak empat gol padang dan satu pukulan sudut penalti untuk membelasah Jepun 5-1, sekali gus menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua di belakang Korea Selatan.
Pada perlawanan terbabit, gol negara dijaringkan Muhammad Najib Abu Hassan pada minit kedua dan minit ke-39, Muhammad Aminuddin Mohd Zain (minit ke-23), Faizal Saari (minit ke-34) dan Mohamad Ashran Hamsani (minit ke-40).
Gol sagu hati Jepun dijaringkan Kosei Kawabe pada minit kelima.
Perlawanan itu menyaksikan penjaga gol utama Speedy Tiger, Muhammad Hafizuddin Othman dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Ketua jurulatih A Arulselvaraj menyifatkan kemenangan itu sebagai petanda kematangan pemain yang mahu menguasai perlawanan.
“Cuma kali ini, ketika bertahan, pemain kita agak mudah memberi pukulan sudut penalti kepada Jepun. Namun ada positifnya apabila ketika bertahan menghadapi pukulan sudut penalti lawan, kita berjaya menyekat semua lapan pukulan sudut penalti.
“Ini adalah hasil kerja sebelum perlawanan, menerusi analisa dan pemain berjaya melakukan apa yang sepatutnya ketika bertahan,” kata Arul.
Menurutnya, kemenangan besar ke atas Jepun ini adalah yang ketiga, selepas Speedy Tiger melakukannya pada dua pertemuan lalu, menang 5-0 dan 4-2 ke atas lawan sama.
Arul berkata, siapapun lawan di separuh akhir, pasukan akan tampil dengan misi kemenangan.
Skuad negara akan berdepan sama ada Ireland atau tuan rumah Afrika Selatan di separuh akhir nanti.
“Hari ini pemain akan berehat, esok juga tiada perlawanan dan saya mahu mereka rehat, makan dan tidur dengan baik dan juga mahu mereka berehat dari segi emosi sebelum melakukan persiapan untuk perlawanan separuh akhir,” katanya.