SAINGAN liga bola sepak institut pengajian tinggi (LBSIPT) 2022/2023 bakal membuka tirai dengan perlawanan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam pada Sabtu malam.

Perlawanan bagi merebut Piala Sumbangsih, bakal menemukan juara Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang merupakan johan Piala Menteri Pengajian Tinggi.

Atas kertas, kelebihan milik UiTM dibimbing oleh Yazli Yahya yang dijangka meneruskan dominasi mereka dalam arena bola sepak IPT Malaysia musim ini.

Menurut laman rasmi Facebook UiTM, pihaknya menggesa penyokong hadir beramai-ramai sebagai tanda semangat dan memeriahkan suasana pertandingan.

“Ayuh semua siswa beramai-ramai turun ke stadium. Sokongan dari anda semua amat dihargai,” tulis kenyataan itu.

Pasukan UiTM sedia julang trofi Piala Sumbangsih di Shah Alam, malam esok.

Seperkara menarik mengenai liga ini adalah apabila dilihat sebagai langkah pencarian pemain pelapis dalam sukan bola sepak di kalangan penuntut.

Boleh juga dianggap satu langkah berterusan yang positif supaya arena sukan negara tidak ketandusan bakat baharu bagi meneruskan saingan dalam pelbagai kejohanan di dalam dan luar negara.

Kejohanan ini dilihat menjadi salah satu usaha kerajaan melahirkan bintang muda dalam sukan bola sepak selain inisiatif beberapa kelab bola sepak negeri yang turut mempunyai akademi masing-masing.

Selain itu, penubuhan kelab bola sepak di peringkat universiti juga menjadi satu cara untuk mengasah bakat mahasiswa dalam sukan yang popular di seluruh dunia itu selain mendidik mereka mengenai aspek pengurusan, kepegawaian dan pembangunan atlet.

Di Malaysia, UiTM adalah antara salah satu universiti awam (UA) yang memiliki kelab bola sepak sendiri dikenali dengan nama UiTM FC dan berjaya meneruskan saingan sehingga ke peringkat Liga Super.

Senarai pasukan bertanding Divisyen 1

Universiti Teknologi MARA (UiTMShah Alam)
Universiti Teknologi MARA Perlis (UiTM Perlis)
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Universiti TeknologiMARA Pahang (UiTM PAHANG)
Multimedia University (MMU)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
Universiti Sains Malaysia (USM)
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM)

Senarai pasukan bertanding Divisyen 2

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
Sunway University (Sunway U)
Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
HELP University (HELP U)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
City University (CITY U)
Universiti TeknologiMARA Negeri Sembilan (UiTM N9)
Politeknik Malaysia (Poli Malaysia )
Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
Akademi Mokhtar Dahari (AMD) II (Bawah 15 tahun)
Kolej Komuniti Malaysia (KK MAS)
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Universiti Malaya (UM)
Kolej Poly-Tech Mara Bangi (KPTM Bangi)

Senarai pasukan bertanding Divisyen 3

8 Pasukan dari Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM)
8 Pasukan terbaik dari Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA)