PENERJUN negara, Ooi Tze Liang bakal beraksi dalam acara 3 meter papan anjal seirama petang Ahad.
Sebagai penerjun berpengalaman Tze Liang yakin mahu mempamerkan aksi terbaik, malah turut meletakkan sasaran peribadinya untuk merangkul dua pingat emas.
Bagaimanapun, penerjun kelahiran Pulau Pinang berusia 28 tahun itu mengakui lawan paling sukar setiap kali bertanding adalah ketenangan mental.
“Saya rasa sangat teruja dalam persiapan yang telah dibuat dan yakin mahu buat yang terbaik.
“Tetapi saya perlu berdepan dengan lawan yang paling sukar iaitu diri sendiri,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Sementara itu Tze Liang mengakui tahun ini jadual yang padat dengan pelbagai kejohanan yang disertainya.
Sekembalinya dari Hanoi, Tze Liang akan memberi fokus kepada Sukan Komanwel di Birmingham dan Sukan Asia di Hangzhou, China yang disahkan ditunda berikutan peningkatan kes Covid di negara tembok besar itu.
Tze Liang akan turun bergandingan bersama Chew Yi Wei jam 4.10 petang ini untuk aksi sulung dalam acara 3 meter papan anjal seirama dalam temasya dwitahunan itu.