PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mara ke separuh akhir Bahrain International Challenge selepas berjaya mengarasi cabaran pemain India, Priyanshu Rajawat, di suku akhir Jumaat malam.
Tze Yong yang diletakkan selaku pilihan utama kejohanan, menang ke atas pemain India itu, 21-10, 22-20, untuk menempah pertemuan dengan pemain Finland, Kalle Koljonen.
Wakil Eropah itu ke separuh akhir, selepas mengatasi Muhammad Reza Al Fajri 12-21, 21-17, 21-10.
Tze Yong dihantar ke Bahrain, dalam usaha jurulatih yang merancang untuk memastikannya berada di ranking terbaik menjelang tahun 2023.
Ketika ini, Tze Yong melonjak ke ranking ke-27 dunia, satu tangga di bawah Li Shi Feng dari China.
Usaha memperbaiki ranking dunia tonggak perseorangan lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, bertujuan memudahkan pemain itu menyertai kejohanan besar tahun hadapan, terutamanya menjelang kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada saingan Terbuka Australia bulan lalu, Tze Yong kandas di separuh akhir, namun ketiadaan bintang besar di Bahrain, diharap membuka peluang buat Tze Yong mara lebih jauh, selepas ini.