CAMEROON menewaskan barisan kedua Brazil 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan G Piala Dunia, namun tidak cukup untuk menyelamatkan wakil Afrika itu daripada tersingkir.

Menamatkan saingan di tempat ketiga dengan empat mata, dua mata di belakang Switzerland yang berjaya menewaskan Serbia 3-2, tidak cukup buat Cameroon meneruskaan kemaraan malah Brazil masih menjuarai kumpulan berdasarkan perbezaan jaringan dan akan bertemu Korea Selatan pada aksi 16 terbaik.

Pemain Cameroon tetap berusaha gigih meskipun sedar peluang sukar untuk mereka layak ke pusingan 16 terbaik.

Fred, Antony dan Bruno Guimaraes berpeluang membuka jaringan pada perlawanan yang menyaksikan Gabriel Martinelli muncul pemain paling menyerlah buat juara dunia lima kali itu.

Namun, Cameroon akhirnya memecah kebuntuan pada minit ketiga masa tambahan menerusi tandukan Vincent Aboubakar yang turut dilayangkan kad kuning kedua dan diarah keluar padang kerana membuka jersi bagi meraikan gol kemenangan itu.

Vincent Aboubakar meraikan jaringannya dengan membuka jersi. Beliau turut dilayangkan kad kuning kerana tindakannya itu.

Pada aksi itu juga, Dani Alves menjadi pemain tertua pernah mewakili Brazil di Piala Dunia lelaki pada usia 39 tahun sekali gus memecahkan rekod rakan sepasukan, Thiago Silva yang turut beraksi pada edisi kali ini.

Namun, rekod itu masih dipegang Formiga yang beraksi untuk Piala Dunia Wanita 2019 pada usia 41 tahun.

Alves juga beberapa bulan lebih muda berbanding pemain Kanada, Atiba Hutchinson dan pertahanan Portugal, Pepe – kedua duanya berusia 39 tahun dan tampil di Piala Dunia kali ini. -REUTERS