PEMAIN tengah Sabah FC, Baddrol Bakhtiar mengesahkan akan terus bersama The Rhinos dalam kancah saingan liga musim hadapan sehingga 2024.

Jelasnya, usaha pasukan tersebut sejak awal musim 2022 membuahkan hasil apabila skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya melakar sejarah mara ke saingan Piala AFC 2023 meskipun terpaksa menunggu sehingga final Piala Malaysia untuk mengesahkan kemaraan.

Baddrol menjelaskan keputusan melanjutkan kontrak bersama pasukan Borneo tersebut dibuat setelah memahami hala tuju yang ingin dibawa pengurusan Sabah FC serta jurulatih pasukan itu.

“Saya masih kekal di Sabah FC untuk tahun 2023. Tahun 2022 adalah rezeki Sabah kerana layak ke Piala AFC 2023. Kami berusaha lebih sejak awal musim lagi dengan pelbagai rintangan yg kami lalui.

“Sebab saya memilih pasukan Sabah FC adalah kerana persiapan pasukan menjelang musim 2023 begitu tersusun dan banyak perancangan yang baik dan positif dari pengurusan Sabah FC.

ARTIKEL BERKAITAN : Piala Malaysia 2022 : Baddrol enggan tumpu soal kontrak, fokus bawa Sabah FC ke separuh akhir

“Salah satu sebab saya memilih Sabah FC adalah disebabkan Datuk Ong Kim Swee dan perancangan mereka yang begitu teratur,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Pun begitu, dia mengakui turut menerima beberapa tawaran dari kelab lain namun enggan mendedahkan nama kelab tersebut buat masa ini.

Meniti usia 35 tahun pada musim hadapan, Baddrol semestinya memiliki pengalaman luas untuk membantu pasukan Sabah FC mara lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia serta cabaran di peringkat Asia yang tentunya menjanjikan drama yang lebih menarik.