SUSULAN penarikan diri Petaling Jaya City FC dalam kancah saingan Liga Super musim hadapan, pemain sudah pasti mencari arah untuk bersama pasukan yang mempunyai visi dan hala tuju yang lebih jelas untuk menjamin kelangsungan karier pemain.
Bekas penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi menjelaskan dia kini sedang berada pada fasa terakhir rundingan bersama pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
“Sekarang berada pada fasa terakhir rundingan dan perbincangan bersama pasukan Kedah,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Jelasnya, dia mungkin bersama kelab tersebut kerana pasukan tersebut merupakan sebuah kelab yang stabil dan mempunyai nama yang gah di Malaysia.
Sebagai penjaga gol, dia menyifatkan peluang tersebut harus disambar dengan baik kerana pengalaman bersama kelab KDA FC sememangnya merupakan sesuatu yang sangat bernilai.
“Semua kita tahu, pasukan Kedah merupakan antara pasukan yang mempunyai nama besar dalam bola sepak Malaysia.
“Jadi saya rasa, ia bagus untuk menimba pengalaman yang baru buat saya sebagai penjaga gol,” ujarnya.
Sementara itu, dia mengakui turut menerima beberapa tawaran dari kelab lain namun KDA FC dijangka tetap menjadi pilihannya pada musim hadapan.
“Saya turut menerima tawaran dari kelab Negeri Sembilan FC dan Pahang FC,” jelasnya.