PEMINAT Socceroos hilang sabar terhadap kapten bola sepak Piala Dunia mereka, Mathew Ryan yang melakukan kesilapan mudah menghadiahkan gol kepada pemain sayap Argentina, Julian Alvarez, yang dianggap jaringan paling mudah pada saingan 16 terakhir.

Biarpun Australia ketinggalan 1-0, penjaga gol itu mendapat bola dalam kotak penalti dan cuba menggelecek Rodirgo De Paul.

Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila pemain tengah Atletico Madrid terbabit memberi tekanan hingga bola lepas dari kawalan Ryan dan membenarkan Alvarez membuat jaringan mudah.

Ryan sememangnya dikenali sebagai penjaga gol yang agresif , cuma kali ini, nasib tidak menyebelahinya.

“Kami tidak boleh berikan gol begitu,” tulis seorang peminat, manakala peminat lain pula melakukan ciapan “Mat Ryan, What Have You Done?”!

Ryan kelihatan sugul dan bersalah sebaik tamat perlawanan dan cuba ditenangkan rakan sepasukan.

Jurulatih Graham Arnold tetap memuji penjaga gol itu meskipun melakukan kesilapan besar.

“Maty seorang kapten yang baik, pemain yang hebat,” katanya mempertahankan Ryan.

“Setiap orang melakukan kesilapan dan anda harus belajar darinya. Lupakan dan maju ke hadapan. Saya pasti Maty akan melakukannya.”