PASUKAN Piala Uber negara bermula dengan langkah kiri apabila tewas tipis 2-3 kepada Denmark dalam aksi Kumpulan C yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok, Thailand pada Ahad.
Perseorangan pertama negara menyaksikan Kisona Selvaduray gagal menyaingi ketangkasan Mia Blichfeldt apabila tewas straight set 14-21,15-21 sekaligus ketinggalan 0-1 kepada Denmark.
Bagaimanapun, gandingan beregu sensasi negara, Pearly Tan- M.Thinaah memberi sedikit sinar apabila kembali bangkit untuk menang straight set 21-19, 21-19 menewaskan Maiken Fruergaard -Sara Thygesen untuk mengikat Denmark 1-1.
Rentak kecemerlangan itu diteruskan Goh Jin Wei meskipun bergelut dalam dua set awal apabila menang set pertama 21-12 tetapi kemudian tewas di set kedua 11-21 ketiga bertemu Line Christopherson.
Jin Wei seakan-akan menemui sentuhan berbisanya apabila pada set ketiga menyaksikan dia menang mudah 21-5 bertemu sekaligus meletakkan Malaysia 2-1.
Harapan beregu kedua negara Anna Ching Yik Cheong- Teoh Mei Xing untuk meraih mata kemenangan gagal apabila gandingan tersebut tunduk 14-21,10-21 kepada beregu Denmark, Alexandre Boje-Amalie Magelund sekaligus kembali mengikat kedudukan dengan 2-2.
Tugas berat terpaksa dipikul pemain muda berusia 19 tahun, Myisha Mohd Khairul apabila terpaksa akur tumbang straight set 12-21, 9-21 berhadapan pemain berpengalaman Line Hojmark Kjaersfeldt.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia tewas 2-3 kepada Denmark dan meletakkan skuad Piala Uber negara menghadapi misi sukar untuk layak ke peringkat suku akhir.
Selepas ini, skuad wanita negara bakal menentang tuan rumah, Thailand (9 Mei) yang mudah menumpaskan Mesir dalam satu lagi saingan kumpulan C sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Mesir 10 Mei ini.